Sembilan inisiatif Polis Melaka jamin keselamatan awam

Masa Membaca:2 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 23 Dis. – Polis Melaka menyediakan sembilan inisiatif dalam usaha mengurangkan kadar jenayah, sekali gus menjamin keselamatan awam di kawasan kejiranan.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Sharul Lalli Masduki berkata, antara inisiatif yang telah dilaksanakan ialah seperti kesukarelawan melalui kepolisan komuniti iaitu dengan menganjurkan pelbagai aktiviti seperti ceramah, dialog, perjumpaan dan rondaan bersama masyarakat.

Selain itu, katanya, pihak polis juga telah menjalankan usahasama bersama sektor swasta berkenaan aktiviti pencegahan jenayah yang bertujuan untuk beri kesedaran, pemahaman, kaedah serta peranan mencegah jenayah di kawasan kejiranan.

Tambahnya lagi, pihaknya turut melaksanakan inisiatif satu masjid, satu polis iaitu dengan meletakkan satu anggota di setiap masjid yang ada di negeri ini untuk tujuan yang sama.

“Di Melaka kita ada 190 buah masjid, jadi kita letak satu anggota untuk hadir bersama kariah dan jemaah masjid dan bersama-sama dalam pelbagai aktiviti untuk mendapatkan apa jua maklumat yang boleh disalurkan kepada pihak polis.

“Boleh dikatakan inisiatif ini telah mewujudkan persekitaran yang baik dan mendapat respon positif dalam kalangan jemaah dan penduduk setempat.

“Pada masa sama, kita juga turut meletakkan satu anggota di setiap sekolah di negeri ini dalam usaha memberi pendedahan awal kepada murid mengenai jenayah dan kesannya kepada mereka jika terbabit dalam aktiviti jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Town Hall bertajuk Meningkatkan Kadar Keselamatan Kejiranan Menerusi Amalan Pencegahan Jenayah yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Polis Melaka.

Sesi Town Hall itu turut melibatkan Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Negara Negeri Melaka (JPNIN) Habibah Jaafar serta Pengarah Peracang Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Zuhaila Ahmad Zubel sebagai panel.

Menyambung inisiatif tersebut, Sharul Lally berkata, polis Melaka juga tidak terkecuali dalam menggerakkan skuad Amanita, iaitu anggota atau pegawai polis wanita yang akan pergi ke rumah-rumah pada waktu siang untuk mendapatkan maklumat daripada suri rumah atau kaum wanita yang sentiasa berada di rumah.

Jelasnya lagi, skuad Amanita itu juga akan bertindak mengadakan lawatan kepada mangsa-mangsa jenayah yang berkemungkinan mengalami trauma, takut dan rasa tidak selamat yang mana lawatan tersebut bertujuan mengurangkan ketakutan dan meningkatkan keyakinan serta memberi semangat kepada mangsa.

“Kita juga turut melancarkan inisiatif yang dipanggil ‘go to safety point’, iaitu menjadikan beberapa stesen minyak di negeri ini sebagai safety point. Bila berlakunya sebarang jenayah, kebiasaannya mangsa akan ke steseb mintak dan dari situlah, bantuan tahap pertama akan diberikan sebelum tahap seterusnya,” katanya.

Tambah Sharul Lally, selari dengan perkembangan teknologi semasa, pihaknya juga kini aktif menyalurkan maklumat kepada orang ramai menerusi platform media sosial seperti Facebook dan Telegram untuk menyalurkan maklumat lebih pantas kepada orang ramai.

“Yang terbaharu, kita juga memperkenalkan kaedah panggilan telefon kepada mereka di luar sana yang mana kita akan buat 10 panggilan telefon di setiap daerah pada setiap hari.

“Dari sini jugalah kita meneroma banyak maklumat yang tidak kita ketahui dan seterusnya kita boleh mengambil tindakan dengan segera berdasarkan maklumat yang kita terima,” ujarnya.

Views:

524
Kongsi :
Previous post Bahana jadi ‘Ah Long’ haram
Next post Hubungan baik polis, masyarakat kunci kurangkan kadar jenayah
Ubah saiz-+=