Hubungan baik polis, masyarakat kunci kurangkan kadar jenayah

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 23 Dis. – Kerjasama dan hubungan erat di antara pihak polis dan masyarakat di negeri ini diyakini dapat menjadi kunci utama dalam membantu mengurangkan kadar jenayah di Melaka.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Sharul Lalli Masduki berkata, melalui hubungan yang dibina itulah pihak polis dapat menerima pelbagai maklumat secara lebih berkesan sekali gus dapat membendung jenayah daripada terus berlaku, khususnya di kawasan kejiranan

Jelasnya, antara yang boleh dilakukan masyarakat untuk membantu pihak polis ialah seperti menyertai Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dengan mendaftar melalui aplikasi tersebut untuk mewujudkan kolaborasi dan kerjasama strategik mencegah jenayah sebagai mata dan telinga pihak polis.

Selain itu, katanya, rakyat di Melaka juga boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi talian Hotline PDRM Melaka iaitu 062851999 dan juga melalui khidmat sistem pesanan ringkas (SMS).

“Perlu diperkatakan bahawa polis dan masyarakat tidak dapat dipisahkan. Ungkapan “Police are the public and the public are the police” ialah satu ungkapan yang boleh dipakai pada bila-bila masa.

“Pada ketika ini, hanya terdapat 130,000 polis di seluruh negara berbanding dengan kepadatan 32 juta penduduk. Jadi, kekuatan yang ada tidak cukup untuk meliputi semua yang ada. Sebab itulah kita memerlukan bantuan daripada masyarakat di luar sana.

“Pihak polis sememangnya sentiasa menyanjung tinggi masyarakat yang sudi dan gemar menyalurkan maklumat kepada kita. Kita juga mengucapkan terima kasih di atas inisiatif masyarakat di kawasan rukun tetangga (KRT) yang menubuhkan skim rondaan sukarela (SRS) yang mana ia sememangnya banyak membantu pihak polis dalam usaha mencegah jenayah di kawasan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Town Hall bertajuk Meningkatkan Kadar Keselamatan Kejiranan Menerusi Amalan Pencegahan Jenayah yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Polis Melaka.

Sesi Town Hall itu turut melibatkan Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Negara Negeri Melaka (JPNIN) Habibah Jaafar serta Pengarah Peracang Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Zuhaila Ahmad Zubel sebagai panel.

Views:

1213
Kongsi :
Previous post Sembilan inisiatif Polis Melaka jamin keselamatan awam
Next post Ayer Keroh Country Club: Pembangunan elemen alam semula jadi bakal dibina
Ubah saiz-+=