Ayer Keroh Country Club: Pembangunan elemen alam semula jadi bakal dibina

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 23 Dis. – Sebuah pembangunan bercampur yang menggabungkan elemen alam semula jadi, kelestarian dan eko kesihatan akan dibina di kawasan Ayer Keroh Country Club (AKCC), sedikit masa lagi.

Pembangunan terbaharu oleh NCT Group selaku pemaju hartanah itu diberi nama Ion Forte Green City (IFGC) yang mana pembinaannya dijangka bermula pada 2021 dan fasa pertamanya dijangka siap pada 2024.

Menariknya, Melaka Hari Ini (MHI) dijemput menjadi antara individu pertama menyaksikan previu eksklusif pembangunan terbaharu itu, sekali gus mendahului majlis pecah tanah rasmi IFGC yang dijangka pada Januari depan.

Sepanjang berada dalam majlis previu itu, MHI dibawa melihat sendiri reka bentuk eksklusif pembangunan yang akan dilengkapi hotel, penempatan mewah, suit kesihatan, villa persaraan dan Rumah Kelab Antarabangsa (Club House) serta kompleks komersial itu.

Difahamkan terdapat lima fasa untuk pembangunan di tanah seluas 75 hektar tersebut yang mana kelima-lima fasa itu dijangka mengambil masa tujuh ke 10 tahun untuk disiapkan.

Menurut Pengarah Jualan dan Pemasaran NCT Group Felix Ng, pembangunan tersebut bakal mencipta satu standard baharu dalam pembangunan hartanah di Negeri Melaka dengan struktur yang lebih moden.

“IFGC mempunyai pelbagai ciri-ciri istimewa dan kami amat teruja untuk berkongsi dasar, inspirasi dan aspirasi dalam membangunkan projek ini.

“Gabungan alam semulajadi dan gaya hidup sihat akan mencipta kualiti hidup dan pengalaman baharu. Kami menantikan kunjungan pembeli ke galeri juala IFGC yang sudah mula dibuka,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif AKCC Datuk Wira Dr Ir Ahmad Zaini Mohd Amin turut berharap melalui pembangunan baharu itu ia akan memberi satu nafas baharu kepada Negeri Melaka dan pada masa sama yakin ia juga berupaya meningkatkan lagi potensi pelancongan yang merupakan nadi ekonomi negeri ini.

“Pembangunan ini juga bakal memainkan peranan besar dalam membawa AKCC ke peringkat lebih tinggi dan menambah nilai serta menyumbang ekonomi Negeri Melaka,” katanya.

Views:

1037
Kongsi :
Previous post Hubungan baik polis, masyarakat kunci kurangkan kadar jenayah
Next post COVID-19: Melaka catat 124 kes positif
Ubah saiz-+=