Bahang TMM2024 bermula 25 Disember ini

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 November – Bahang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) akan mula dirasai bermula 25 Disember ini, kata Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan.

Menurut beliau, sambutan ketibaan TMM2024 akan bermula dengan pertandingan memancing pantai yang akan diadakan di Pantai Puteri yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000, diikuti program Melaka Berselawat di Stadium Hang Jebat, penghujung tahun ini.

Jelas Zaidi, acara kemuncak pula akan tiba pada 31 Disember iaitu Majlis Pelancaran TMM2024 secara gilang-gemilang yang akan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Selepas majlis pelancaran, acara sebenar TMM2024 akan bermula yang mana setiap hari akan ada pelbagai program dianjurkan dalam menarik kehadiran pelancong.

“Kesemua program atau acara yang dianjurkan adalah bertaraf antarabangsa yang mana TMM2024 juga adalah suatu proses pembelajaran kita untuk menyambut Hari Pelancongan Dunia 2025 (WTD 2025).

“Ia menjadi proses pembelajaran untuk kita mencapai tahap mutu perkhidmatan antarabangsa dalam mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Antarabangsa Baba Nyonya Ke-34 yang disempurnakan Ketua Menteri di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Sa’ari Basiron dan Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, Datuk Ronald Gan.

Tambah Zaidi, selain pelbagai acara dianjurkan, Melaka juga menjadi negeri pertama menyediakan hadiah cabutan bertuah menarik berupa kereta kepada pelancong yang datang menginap dan berbelanja di negeri ini.

“Tidak pernah berlaku di mana-mana negeri menawarkan hadiah menarik seperti ini dalam menarik kehadiran pelancong dan kita akan lakukannya.

“Bukan hanya Kerajaan Negeri, bahkan pihak swasta seperti hotel, pelabur dan pengilang turut menzahirkan komitmen mereka dalam membantu menjayakan TMM2024 ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

641
Kongsi :
Previous post 18 terperangkap dalam lif, seorang sesak nafas
Next post Banjir: Melaka buka satu pusat pemindahan
Ubah saiz-+=