Balai Polis Durian Tunggal pula tutup sementara akibat COVID

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

ALOR GAJAH 19 Julai – Balai Polis Durian Tunggal dekat sini, ditutup empat hari susulan terdapat pegawai bertugas dijangkiti COVID-19.

Ia balai polis kedua di daerah ini terpaksa ditutup akibat penularan virus berbahaya itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, balai terbabit ditutup bermula jam 2 petang tadi hingga Khamis ini bagi kerja sanitasi dan mengekang penularan wabak.

KETUA Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu.

“Segala urusan termasuk permohonan rentas daerah dan negeri diminta merujuk ke Balai Polis Rumbia atau Balai Polis Gadek dan Balai Polis Machap Baru atau mana-mana balai berhampiran.

“Perkhidmatan polis kepada masyarakat di bawah pentadbiran Balai Polis Durian Tunggal seperti rondaan cegah jenayah melalui Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagaimanapun dijalankan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Arshad, masyarakat di bawah pentadbiran balai polis berkenaan boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah sekiranya memerlukan bantuan.

NOTIS penutupan sementara Balai Polis Durian Tunggal.

“Hubungi talian 06-5564153 atau 06-5566573 yang beroperasi 24 jam sekiranya memerlukan bantuan,” katanya.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini (MHI) melaporkan Balai Polis Kuala Sungai Baru ditutup sehingga Isnin depan ekoran terdapat pegawai yang bertugas di balai berkenaan dikesan positif COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1222
Kongsi :
Previous post JSJN Melaka cemerlang, rampas dadah bernilai RM16 juta
Next post ‘Jualan daging lembu tak macam nak raya’
Ubah saiz-+=