JSJN Melaka cemerlang, rampas dadah bernilai RM16 juta

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 19 Julai – Polis Melaka berjaya merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM16 juta dalam tempoh 1 Januari hingga 15 Julai lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, nilai rampasan itu meningkat lebih RM15 juta berbanding rampasan dilakukan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Rampasan dadah bagi tempoh itu tahun ini bernilai RM16 juta berbanding tahun lalu, yang hanya merekodkan jumlah rampasan bernilai RM686,175.08,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menahan 413 individu kerana melakukan aktiviti pengedaran dadah dalam tempoh sama tahun ini.

Jelasnya, jumlah itu meningkat 1.72 peratus berbanding tahun lalu dengan penahanan seramai 406 orang.

“Bagi tangkapan penagih pula, jumlah tangkapan meningkat 53.16 peratus dengan seramai 1,331 ditahan tahun ini berbanding 869 pada tahun lalu,” katanya.

Menurut Abdul Majid, jumlah tangkapan dan rampasan itu membuktikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri menunjukkan prestasi cemerlang dalam usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di negeri ini.

“Kejayaan ini merupakan usaha pasukan polis memerangi dadah di negeri ini dengan adanya keberkesanan risikan dengan tangkapan berkualiti.

“Ia juga turut dibantu dengan hasil perkongsian maklumat orang awam dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah dengan lebih berkesan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

746
Kongsi :
Previous post Ambil peduli
Next post Balai Polis Durian Tunggal pula tutup sementara akibat COVID
Ubah saiz-+=