‘Jualan daging lembu tak macam nak raya’

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BACHANG 19 Julai – Permintaan terhadap daging lembu segar tempatan didapati kurang menggalakkan biarpun tinggal sehari menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha, esok.

Itu gambaran ketika Melaka Hari Ini melakukan tinjauan di Pasar Besar Bachang pagi tadi dan tiada kelibat pelanggan beratur panjang untuk membeli daging segar.

Selain berdepan cabaran sambutan pelanggan berikutan pandemik melanda, kira-kira lapan peniaga daging di pasar itu terpaksa ‘bersaing’ sesama sendiri bagi mendapatkan pelanggan.

Tinjauan mendapati peniaga akur dengan ketetapan harga siling oleh kerajaan iaitu RM34 sehingga RM38 bagi sekilogram daging segar.

Peniaga, Mohd Nasir Ali, 48, berkata, berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 situasi sambutan pelanggan ke pasar terbabit semakin berkurang menyebabkan perniagaannya sedikit terganggu.

“Setakat ini sambutan biasa saja biarpun nak raya dan kami juga menjual harga mengikut harga siling yang ditetapkan berikutan stok lembu yang dijual merupakan ternakan sendiri.

“Ikutkan hati ingin jual RM38 sekilogram tapi kita berpadalah kerana nak jual harga terlampau rendah pun tak boleh nak tinggi sangat pun tak boleh,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

MOHD HAMIZAN juga berdepan saingan dan kekurangan pelanggan dalam tempoh pandemik COVID-19.

Seorang lagi peniaga, Mohd Hamizan Yusof, 36, berkata, sebelum penularan COVID-19 pasar itu dibuka sampai petang kerana sambutan pelanggan.

Katanya, harga daging dijual juga bergantung kepada keadaan peniaga yang mana dia mendapat bekalan daripada pembekal dan perlu mengambil sedikit keuntungan.

“Saya terpaksa menjual RM38 sekilogram, jika jual ikut harga siling maka kita tidak dapat keuntungan langsung.

“Harga dari pembekal RM32 sekilogram dan RM30 sekilogram buat harga lembu timbang hidup.

“Jika dahulu, biasanya 10 ekor boleh habis dijual dalam seminggu namun sekarang tiga ekor pun susah nak habiskan,” katanya.

NOR BAYA.

Seorang pembeli, Nor Baya Abu Hasan,53, berpuas hati harga daging segar yang dibelinya bagi persiapan Aidiladha, esok.

“Saya dapati harga jualan memang terkawal hari ini dan kalau dibandingkan harga sebelum ni memang sama saja.

“Tambahan lagi, saya selalu ke sini berikutan keadaan yang selamat dan SOP pun diperketatkan di pasar ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2552
Kongsi :
Previous post Balai Polis Durian Tunggal pula tutup sementara akibat COVID
Next post Lawatan Menteri Kesihatan pantau situasi semasa Hospital Melaka
Ubah saiz-+=