Baling bom petrol gara-gara cemburu dengan bekas kekasih

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BATU BERENDAM 16 Feb. – Padah cemburu tidak bertempat, seorang pemandu lori diberkas polis selepas dipercayai membaling bahan letupan molotov koktel ke rumah teman lelaki bekas kekasihnya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, suspek berusia 50 tahun dipercayai membaling bahan letupan itu ke bahagian dinding luar rumah berkenaan di Taman Melaka Baru.

Menurutnya, kejadian disedari pengadu lelaki berusia 49 tahun yang juga kekasih baharu bekas teman wanita suspek selepas dia terdengar bunyi letupan kuat di bahagian hadapan rumah.

“Kejadian mengakibatkan rak kasut serta bumbung sebuah kereta jenis Honda Jazz terbakar namun api sempat dipadam pengadu daripada merebak.

“Pengadu turut menjumpai satu botol kaca yang mengandungi minyak petrol dipercayai molotov koktel sebelum membuat laporan polis pada pukul 7.45 malam,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Afzanizar menambah, pengadu yang bekerja sebagai tukang cat mendakwa turut terlihat seorang lelaki dipercayai suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta yang diparkir berhampiran rumah.

“Susulan itu, sepasukan anggota telah ke lokasi dan mendapati kesan terbakar di rak kasut serta bumbung kenderaan yang diparkir di dalam kawasan rumah.

“Pemeriksaan lanjut turut menjumpai kesan serpihan muncung botol kaca di kawasan kereta pengadu, dipercayai adalah serpihan molotov koktel yang dibaling suspek,” katanya.

Tambahnya, kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu suspek apabila bekas teman wanitanya berusia 46 tahun itu yang bekerja sebagai ejen pelancongan tinggal bersama pengadu.

“Difahamkan suspek pernah menjalinkan hubungan cinta dengan wanita tersebut selama enam bulan, manakala pasangan itu baharu bercinta tiga bulan lalu.

“Suspek kemudian berjaya ditahan pada pukul 10 malam di Taman Bachang Utama selain polis turut merampas satu pemetik api dan sebuah kereta jenis Proton Waja beserta kunci.

“Lelaki itu direman sehingga 20 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan menggunakan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan,” katanya.

Views:

456
Kongsi :
Previous post COVID-19: kes sembuh tertinggi dicatatkan, lapan lagi kematian- KP Kesihatan
Next post Mahkamah Tinggi Melaka tolak permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh KAJD
Ubah saiz-+=