Balu lapan anak terima pencen bulanan RM1,775.42

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 9 Jun – Balu kepada paramedik kapal yang meninggal dunia akibat sakit jantung pada 26 Mei lalu menerima ‘hadiah’ terakhir daripada suaminya berupa bayaran bulanan pencen penakat bagi meneruskan kehidupan.

Siti Suryati Sani, 41 menerima faedah itu berserta Faedah Pengurusan Mayat (FPM) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang disampaikan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem di kediaman mereka di Taman Sutera Wangi, di sini, hari ini.

Menurut Hee Sem, faedah itu diterima balu Allahyarham Khirul Azlizam Mohamed@Mohamed Daud dan lapan anak mereka berusia 11 bulan hingga 15 tahun kerana kesedaran waris mencarum Perkeso sebelum ini.

“Lawatan Skuad Perkeso Prihatin ini untuk menyampaikan sumbangan kepada balu arwah untuk menampung perbelanjaan dalam meneruskan kelangsungan hidup.

“Kita dapati, sejurus mendapat berita kematian dan semakan mendapati waris layak menerima FPM dan pencen penakat.

“Waris telah menerima bayaran FPM berjumlah RM2,000 pada 2 Jun lalu dan pencen penakat secara bulanan yang akan diterima adalah sebanyak RM1,775.42 di mana balu akan menerima faedah tersebut seumur hidup.

“Manakala anak-anak akan menerima faedah sehingga berusia 21 tahun atau sehingga menamatkan pengajian ke peringkat ijazah pertama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perkeso Melaka, Abd Razak Omar berkata, Perkeso dengan kerjasama rakan sinergi wakalah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah bersetuju mengambil kesemua lapan anak arwah di bawah Program Prihatin Keluarga Angkat (PROTEK).

Jelasnya, program tersebut merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Perkeso, bagi membantu keluarga yang kehilangan ketua keluarga.

“PROTEK ini merupakan CSR Perkeso, kita ambil anak-anak arwah sebagai anak angkat, dan biasanya kita membantu dari segi persekolahan, ketika hari raya, dan kebiasaan bantuan diberikan sehingga anak-anak ini tamat sekolah.

“Di Melaka hanya terdapat dua keluarga termasuk keluarga arwah ini yang kita angkat menerusi Program PROTEK,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9293
Kongsi :
Previous post Hobi kami ‘mahal’ tapi berbaloi
Next post Exco Melaka bantu langsai sewa rumah tertunggak
Ubah saiz-+=