Hobi kami ‘mahal’ tapi berbaloi

Masa Membaca:2 Minit, 45 Saat

DUYONG 9 Jun – Dikategorikan sebagai hobi ‘kayangan’ kerana peminatnya perlu berhabis ribuan ringgit untuk membeli dan menyelenggara jentera mini masing-masing.

Namun bagi peminat hobi jentera berat kawalan jauh, menghabiskan modal yang tebal berbaloi kerana ia pada masa yang sama dianggap sebagai membeli masa silam yang tidak dapat diulang semula.

Pengerusi Persatuan Jentera Berat Kawalan Jauh Melaka (JBKM), Almubarak Salleh berkata, majoriti individu berjinak dalam hobi itu adalah atas dasar ingin merasai semula suasana ceria dan gelak ketawa bermain model jentera berat bersama rakan-rakan pada zaman kanak-kanak.

“Memang tidak dinafikan, kalau baru bermula seseorang itu perlu sediakan modal besar, lebih ribuan ringgit untuk beli satu unit jentera berat mini ini bersama kelengkapan lain yang kebiasaannya diimport dari China.

“Satu unit jentera mini ini dijual sekitar RM3,000 ke RM4,000. Tanda harga itu belum termasuk kos untuk menyelenggara atau menaik taraf komponen yang bergantung kepada kemahuan pemiliknya.

“Berbeza dengan peminat kenderaan kawalan jauh, mereka mencari kepuasan dengan berlumba di litar tetapi kami santai sahaja sambil mengendalikan jentera bersama keluarga,” katanya.

photo1685872551 (1)
JENGKAUT kawalan jauh beroperasi seperti kenderaan sebenar ketika mengisi tanah ke dalam lori.Foto Iqmal Haqim Rosman

Katanya, mengoperasikan jentera mini memuatkan tanah ke dalam lori menggunakan alat kawalan jauh memberikan satu kepuasan dan ketenangan kepada peminat hobi itu.

Baginya, hobi itu juga sesuai untuk diperluaskan kerana sesuai untuk semua peringkat dan boleh dikongsi oleh semua ahli keluarga.

“Ahli persatuan akan saling bantu-membantu, jika ada komponen yang rosak kami bersama-sama mencari alat ganti pada harga yang dianggap berpatutan.

“Ketika awal hobi ini diperkenalkan di Malaysia ramai yang ditipu kerana membeli komponen atau jentera pada harga lebih mahal. Ada yang membeli jentera mini ini pada harga RM8,000 hingga RM10,000.

“Sepatutnya tidak semahal itu. Selain berkongsi minat hobi ini turut mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan ahli,” katanya.

Jelasnya kerana terlalu sayang ada yang mengistilahkan jentera mini masing-masing sebagai isteri kedua mereka.

Katanya, pada setiap malam atau selepas pulang daripada bekerja pemilik akan menghabiskan masa untuk membelek dan mengelap jentera mini masing-masing

“Sebenarnya ramai mengidamkan untuk memiliki jentera mini ini ketika zaman kanak-kanak, namun ketika itu ramai yang kurang berkemampuan. Selepas bekerja ada pendapatan sendiri mereka beli untuk rasa keseronokan itu,” katanya.

photo1685872732
SEBAHAGIAN ahli bergambar bersama permainan jentera berat kawalan jauh yang dipamerkan sempena program santai bersama peminat Jentera Berat Kawalan Jauh Melaka (JBKJM) di Stadium Tun Fatimah. Foto Iqmal Haqim Rosman

Almubarak berkata, jumlah peminat hobi itu di negara ini semakin meningkat seumpama cendawan tumbuh sejak kebelakangan ini.

Dia difahamkan setakat ini terdapat lebih 50 komuniti bernaung dibawah Kelab Southern RC Truckers and Construction Machinaries (SRCTCM).

“Hampir di seluruh dunia ada komuniti seperti kami yang berfungsi sebagai penyelas bagi mengadakan pertemuan yang menjadi medan menambah kenalan dan bertukar-tukar pendapat.

“Kebiasaannya sebelum menganjurkan pertandingan kami akan menguji terlebih dahulu kemampuan jentera setiap ahli.

“Sama seperti di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), juri akan memeriksa setiap lampu, isyarat kecemasan, ujian parkir kenderaan serta pelbagai lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

photo1685872546
PEMERIKSAAN dijalankan bagi memastikan kenderaan kawalan jauh tidak rosak dan boleh berfungsi dengan baik.Foto Iqmal Haqim Rosman

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2082
Kongsi :
Previous post Anwar bantah permohonan Sanusi berkaitan pengampunan diraja
Next post Balu lapan anak terima pencen bulanan RM1,775.42
Ubah saiz-+=