Banda Hilir, kawasan bebas kenderaan Jumaat hingga Ahad

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

MELAKA 11 Mei – Kawasan pelancongan di sekitar Banda Hilir akan dijadikan zon bebas kenderaan atau ‘car free zone’ bermula Jumaat hingga Ahad yang dijangka dilaksanakan pada bulan depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kajian mengenai perkara itu sedang dibuat dan tempoh percubaan akan dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pada pertengahan Jun ini.

Katanya, antara kawasan dikenal pasti bagi zon berkenaan adalah termasuk Jonker Walk, Dataran Pahlawan dan di kawasan Hotel Equatorial.

“Di sepanjang lima kilometer ini, kawasan itu akan kita wartakan sebagai kawasan bebas kenderaan pada hari Jumaat petang sehingga ke petang hari minggu (Ahad),” katanya ketika wawancara Bicara Ketua Menteri di Melaka FM, Jalan Taming Sari di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam tempoh percubaan itu, pihaknya akan melaksanakan penutupan jalan selain melihat keberkesanan pelaksanaan program terbabit termasuk limpahan ekonomi yang boleh dijana di sepanjang kawasan terbabit.

“Kalau kita tengok ‘car free zone’ ini akan menarik minat lagi ramai pelancong dan menyemarakkan ekonomi sepanjang koridor kawasan yang ditutup ini, antaranya penarik beca juga akan mendapat rezeki kerana kereta tidak boleh masuk, cuma e-mobiliti sahaja (dibenarkan).

“Banyak kertas cadangan syarikat e-mobiliti saya terima yang hendak bekerjasama, di mana orang boleh sewa basikal elektrik, ‘buggy’, kenderaan untuk keluarga beriadah,” katanya.

Katanya, jalan-jalan altenatif telah dikenal pasti bagi menyurai trafik di kawasan berkenaan dan pengguna jalan raya akan diberi hebahan mengenai laluan yang boleh digunakan sepanjang tempoh percubaan berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

19854
Kongsi :
Previous post UTeM terima dua geran penyelidikan RM446,000
Next post Kanak-kanak enam tahun pandu kereta: Polis tolak dakwaan ada unsur mistik
Ubah saiz-+=