‘Bang Chik’ lone ranger tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 7 April – Seorang penganggur yang aktif melakukan pecah tabung masjid sekitar negeri ini dicekup polis di sebuah rumah di Pantai Puteri, di sini, 1 April lalu.

Lelaki berusia 33 tahun dikenali dengan panggilan ‘Bang Chik’ itu ditahan kira-kira jam 12.15 tengah malam oleh sepasukan polis daripada Bahagian Risikan Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, berdasarkan peningkatan kes pecah tabung masjid dilaporkan satu pasukan khas Op Tabung ditubuhkan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal suspek mengaku terbabit dalam 23 kes pecah tabung masjid iaitu 16 sekitar daerah Melaka Tengah, enam di Alor Gajah manakala satu lagi di Jasin.

“Siasatan dilakukan juga mendapati suspek aktif melakukan jenayah itu sejak Jan tahun ini sehingga 30 Mac lalu dan dia bergerak seorang diri.

“Malah suspek turut mengaku melakukan jenayah sama di beberapa surau serta masjid di Negeri Sembilan.

“Suspek dikatakan akan masuk ke surau atau masjid yang kebanyakkan tidak berkunci antara jam 12 tengah malam hingga 5 pagi sebelum pecahkan kunci mangga pada tabung,” katanya.

Zainol berkata, suspek menggunakan wang diperoleh hasil aktiviti jenayah dilakukan untuk membeli dadah dan perbelanjaan harian lain termasuk membaiki motosikal.

“Setiap kali memecah tabung suspek mendawak memperoleh hasil RM5 hingga RM500, ketika serbuan dijalankan kami turut merampas sejumlah wang daripadanya.

“Turut dirampas adalah dua buah motosikal peralatan dan pakaian dipercayai digunakan suspek ketika melakukan jenayah itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai 13 rekod jenayah lampau dan enam rekod bersabit kes dadah.

“Suspek yang kini direman disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

850
Kongsi :
Previous post Isu gaji: Sulaiman minta MUFC segera selesaikan
Next post Kaedah bayar cukai tanah diperluaskan menerusi JomPAY
Ubah saiz-+=