Banglo jadi ‘sarang’ sindiket tipu pembeli ‘online’

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER KEROH 25 Ogos – Polis Melaka menumpaskan sindiket penipuan jual beli barangan elektrik dalam talian rentas negara susulan penangkapan 10 lelaki termasuk dua warganegara China pada 20 Ogos lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, sindiket berkenaan mula aktif sejak Jun tahun ini dengan menjadikan sebuah banglo di Taman Kota Bendahari Klebang sebagai ‘sarang’ aktiviti jenayah itu.

Beliau berkata, penipuan jual beli barangan elektrik itu bagaimanapun tidak melibatkan pembeli dari Malaysia, sebaliknya, mangsa dari negara China menerusi laman web Taobao.com.

POLIS menumpaskan sindiket pembelian dalam talian selepas menahan 10 suspek di sebuah rumah banglo di Klebang.

Sindiket berkenaan, ujarnya, mula aktif merekrut pekerja dari negara ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan yang mana ketuanya dipercayai masih berada di luar negara.

“Ketika serbuan, kesemua lelaki berusia 19 hingga 36 tahun itu sedang melayari beberapa komputer yang memaparkan laman web iklan barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan penipuan pembelian atas talian.

“Kesemua mereka diarah membuat tugasan ‘like and share’ ke atas barangan di laman web terbabit bertujuan untuk menaikkan rating sesuatu barangan bagi mempengaruhi pelanggan untuk membuat pembelian.

“Pelanggan yang terpengaruh dengan iklan akan membuat pembelian dan selepas bayaran dibuat namun barang dibeli tidak dihantar kepada mereka,” katanya dalam sidang media yang diadakan menerusi aplikasi Google Meet, hari ini.

Beliau berkata, daripada serbuan itu, pihaknya merampas 15 telefon bimbit, dua set komputer meja, enam komputer riba, satu keping pasport dan tiga buku nota yang mengandungi senarai nama pelanggan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penipuan itu.

Jelasnya, siasatan mendapati seorang daripada suspek warganegara China itu mempunyai dokumen perjalanan tamat tempoh, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Kesemua suspek warga tempatan telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama sehari dan kini telah dibebaskan dengan jamin polis sementara menunggu siasatan selesai.

“Manakala, dua lelaki warganegara asing ditahan selama 14 hari untuk siasatan lanjut di atas kesalahan masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan kesalahan tinggal di Malaysia setelah pas tamat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu serta Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah dan setelah pas tamat tempoh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

700
Kongsi :
Previous post Pidato Rukun Negara: Lima peserta kategori sekolah rendah dipilih ke peringkat akhir
Next post Kes tipu jual beli dalam talian meningkat di Melaka, babitkan kerugian RM1.29 juta
Ubah saiz-+=