Pidato Rukun Negara: Lima peserta kategori sekolah rendah dipilih ke peringkat akhir

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

MELAKA 25 Ogos – Lima daripada 10 peserta yang menghantar video penyertaan bagi Kategori Sekolah Rendah Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan, Piala Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka, sedang dinilai untuk ke peringkat akhir.

Ketua Juri Kategori Sekolah Rendah Khairiman Khazali berkata, penilaian berkenaan dilakukan menerusi sistem juri yang ditetapkan iaitu melibatkan sembilan juri terdiri dalam kalangan guru serta pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

Beliau berkata, keputusan untuk menentukan lima video terbaik perlu dinilai secara teliti kerana ia melibatkan saingan sengit antara 10 video yang terpilih di peringkat separuh akhir sebelum ini dan keputusan akan diketahui dalam masa terdekat.

“Secara keseluruhan daripada video yang dihantar, didapati semua peserta membahaskan tajuk atau tema yang tepat iaitu ‘Rukun Negara Sebagai Prinsip Perpaduan Demi Kejayaan dan Kestabilan Rakyat’.

“Namun yang membezakan markah yang diperoleh ialah daripada aspek penampilan, penyampaian dan persembahan,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Khairiman berkata, pada awalnya pihaknya menerima pendaftaran daripada 445 peserta bagi kategori Sekolah Rendah dari seluruh negara namun hanya 273 video lengkap yang berjaya dinilai di peringkat saringan.

Daripada jumlah itu, Melaka mencatatkan penyertaan tertinggi dengan 209 video diikuti Johor (22), Sabah (16), Selangor (enam), Sarawak (tiga), Negeri Sembilan (empat), Pulau Pinang (empat), Pahang (dua), Putrajaya (dua), Terengganu (dua) serta Kelantan, Kuala Lumpur dan Perak masing-masing satu video.

Peringkat akhir pertandingan pidato itu dijangka diadakan pada 16 September secara bersemuka namun bergantung pada situasi semasa pandemik COVID-19 di negara ini.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu Awam, Institusi Pengajian Tinggi, Sekolah Menengah, Sekolah Rendah dan Bukan Melayu, yang menawarkan hadiah bernilai antara RM300 hingga RM5,000.

Ia merupakan anjuran Pejabat Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka dengan kerjasama kerajaan negeri serta Kementerian Perpaduan Negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

622
Kongsi :
Previous post Ahmad Zahid sakit, bicara kes rasuah tangguh 1 September depan
Next post Banglo jadi ‘sarang’ sindiket tipu pembeli ‘online’
Ubah saiz-+=