Banjir: Guru rugi RM10,000 kambing ternakan hanyut dibawa arus

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER LIMAU 29 Dis – Seorang guru terpaksa menanggung kerugian lebih RM10,000 selepas kambing ternakannya mati akibat bencana banjir yang berlaku baru-baru ini.

Mohd Fadzil Mohamad, 45, berkata banjir besar pada awal pagi, 18 Disember lalu bukan setakat menyebabkan perabot kediamannya di Taman Wira Indah, Lubok Cina dekat sini rosak, malah turut menyebabkan 14 kambing ternakannya di Kampung Telok Berembang dihanyutkan arus deras.

“Pada jam 5.30 pagi hari kejadian itu, saya mencuba menghampiri kandang kambing di Kampung Telok Berembang yang berhampiran taman itu tetapi gagal kerana air sudah naik hingga kira-kira 1.5 meter dan amat deras.

“Keadaan amat berbahaya untuk saya terus meredah air untuk ke kandang, jadi saya terpaksa meminta bantuan adik ipar, Mohd Asnizam Zainal yang berusia 37 tahun dan tinggal berhampiran kandang kambing untuk mencuba menyelamatkan kambing,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Dia berkata, adik iparnya terpaksa meredah air setinggi 1.5 meter sebelum memasukkan kambing ke dalam besen besar untuk dipindahkan seekor demi seekor ke kawasan tinggi.

Katanya, Asnizam berjaya menyelamatkan tujuh kambing dengan kaedah itu manakala baki 22 lagi terpaksa ditinggalkan dalam kandang kerana dia tidak mampu lagi meredah arus deras.

“Hanya pada jam 6 petang hari yang sama baharulah saya berjaya sampai ke kandang selepas air semakin surut.

“Hancur luluh hati saya apabila menemukan tujuh kambing yang sudah mati dan tujuh lagi hilang dipercayai dibawa arus deras, manakala lapan lagi masih hidup,” katanya.

MOHD Fadzil memeriksa gigi kambing bagi menentukan umur haiwan peliharaannya di Kampung Telok Berembang, Lubok China.

Mohd Fadzil yang bertugas di sebuah sekolah kebangsaan di Rembau, Negeri Sembilan sudah memelihara kambing sejak 10 tahun lalu untuk dipasarkan kepada penduduk sekitar Lubok Cina.

Katanya, akibat banjir yang berlaku itu, dia kini hanya memiliki seekor kambing jantan baka berusia lebih tiga tahun.

Justeru, dia berhasrat untuk mendapatkan kambing jantan baharu bagi tujuan pembiakan bagi memulakan kembali ternakannya yang terjejas akibat bah besar yang melanda.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1309
Kongsi :
Previous post 26 penduduk di Jasin resah dilanda ‘banjir termenung’ lebih seminggu
Next post Xinyi Glass hasrat tambah pelaburan RM1.4 bilion di Melaka – Rauf
Ubah saiz-+=