Banjir kilat Baling: Dua kampung terlibat, tujuh keluarga dipindahkan ke PPS

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

ALOR SETAR, 29 Julai – Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan tujuh keluarga yang dipindahkan ekoran banjir kilat yang membabitkan dua buah kampung di Baling malam ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling Kapten Rasidah Kassim berkata kampung yang terlibat ialah Kampung Iboi dan Kampung Badang di Mukim Kupang.

“Tujuh keluarga itu dipindahkan ke PPS Dewan Haji Hassan Samah yang dibuka pada pukul 9 malam tadi ekoran kediaman mereka dinaiki air selepas hujan lebat pada petang tadi.

“Bagaimana pun jumlah mangsa daripada tujuh keluarga yang terlibat masih dalam kiraan,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Katanya hujan lebat bermula kira-kira 2 petang tadi dan berterusan selama tiga jam menyebabkan air Sungai Kupang melimpah ke penempatan penduduk yang tinggal berdekatan tebing sungai.

Katanya, pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) menerima laporan mengenai banjir kilat itu kira-kira pukul 5 petang dan telah menggerakkan anggota ke lokasi kejadian dan mendapati beberapa rumah telah dinaiki air.

Tambah beliau, paras air Sungai Kupang juga telah melepasi jambatan Bailey di Kampung Iboi dan pihak polis telah mengarahkan laluan itu ditutup sehingga keadaan pulih dan selamat untuk dilalui.

“Penduduk di kawasan tebing sungai dan kawasan rendah juga dinasihatkan untuk terus berwaspada dan meninggalkan kediaman mereka sekiranya paras air terus meningkat,” katanya.

Tambah beliau pihak APM dan agensi lain yang berkaitan akan terus memantau keadaan di kawasan itu dari semasa ke semasa.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1269
Kongsi :
Previous post Kadar notifikasi kematian Hepatitis B,C di Malaysia meningkat – Khairy
Next post Saksi masih positif COVID-19, bicara rasuah Ahmad Zahid tangguh lagi
Ubah saiz-+=