Banjir: Melaka beri ubat cegah kencing tikus kepada mangsa, petugas – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KESIDANG 3 Jan – Kerajaan negeri akan mengagihkan ubat untuk mencegah kencing tikus kepada mangsa dan petugas banjir di Melaka.

Exco Kesihatan Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ubat Doxycycline 200mg itu akan diberikan kepada mereka yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) dalam usaha mengawal penyakit bawaan air itu.

Katanya, ubat tersebut bagaimanapun diberi keutamaan kepada mangsa dan petugas yang berada di dalam air banjir dalam tempoh lebih tiga jam.

“Penyakit ini (kencing tikus) kalau tidak diubati ia akan membawa mudarat dan lebih teruk membawa kematian.

“Jadi, tindakan awal kita adalah untuk memberikan ubat itu kepada mangsa dan petugas banjir yang berisiko,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merdeka, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, sepanjang tahun lalu, kes berkaitan kencing tikus yang telah direkodkan ialah sebanyak 34 kes yang mana ia menurun berbanding 241 kes pada 2020.

Katanya, penurunan itu adalah disebabkan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan menyaksikan tidak banyak aktiviti riadah dan rekreasi dilakukan orang ramai.

Meskipun begitu, ujarnya, disebabkan banjir besar yang berlaku pertengahan bulan lalu dan awal tahun ini, pihak Jabatan Kesihatan Negeri akan melakukan pemantauan berkala bagi mengelakkan kes kencing tikus kembali meningkat.

“Buat masa sekarang kita belum terima kes membabitkan mangsa (banjir), tetapi masih terlalu awal untuk kita katakan.

“Ini kerana jangkitan ini boleh berlaku dalam tempoh dua hingga 26 hari, jadi untuk kita tahu tahap jangkitannya mungkin kita memerlukan tempoh masa sebulan.

“Sebab itulah kita perlu mengawalnya sejak awal kerana kita tidak mahu nanti kes COVID-19 semakin menurun, tetapi kes kencing tikus pula meningkat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan semua sukarelawan banjir yang terlibat di negeri ini agar mendapatkan ubat mencegah kencing tikus di klinik kesihatan awam atau swasta yang berhampiran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

951
Kongsi :
Previous post Banjir: 28,287 mangsa sudah terima bantuan wang ihsan – PM
Next post Banjir: Tak dapat turun sungai, nelayan menjaring di darat
Ubah saiz-+=