Banjir: 28,287 mangsa sudah terima bantuan wang ihsan – PM

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KUALA LUMPUR, 3 Jan – Seramai 28,287 mangsa bencana banjir telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sehingga 12 tengah hari tadi.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ciapan ringkas di twitternya hari ini.

“Bagi mereka yang masih belum mendaftar atau menerima manfaat ini, boleh segera menghubungi Pegawai Daerah anda untuk bantuan segera oleh kerajaan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia antaranya meliputi BWI sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah berbanding RM500 sebelum ini.

Bayaran bantuan berkenaan disalurkan sejak 27 Dis lepas, iaitu 10 hari selepas kejadian banjir agak luar biasa yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.

Dalam perutusan Tahun Baharu 2022 sebelum ini, Ismail Sabri berkata bantuan itu akan memanfaatkan lebih 45,000 ketua isi rumah.

Menurutnya angka yang akan menerima bantuan itu boleh bertambah apabila kerajaan selesai mengenal pasti mangsa yang terkesan tetapi tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara.

Sementara itu, Ismail Sabri pagi tadi mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca Bencana Banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 yang antaranya membincangkan mengenai pengurusan pascabanjir dan persediaan menghadapi gelombang kedua banjir.

“Saya turut menegaskan akan pentingnya penyelarasan pascabanjir dalam usaha kerajaan membantu mereka yang terjejas,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya.

Mesyuarat berkenaan disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr  Abdul Latiff Ahmad; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Zuki Ali; Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang; Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Aminuddin Hassim.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri serta Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Kerajaan Negeri. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

642
Kongsi :
Previous post Wujud DUN belia, rancakkan aktiviti orang muda – KM
Next post Banjir: Melaka beri ubat cegah kencing tikus kepada mangsa, petugas – Exco
Ubah saiz-+=