Banjir: Melaka tunggu keputusan KPM mengenai pembukaan semula sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

PAYA RUMPUT 3 Jan – Kerajaan negeri sedang menunggu kenyataan baharu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkenaan pembukaan semula sekolah yang dijangka pada minggu hadapan.

Exco Pendidikan Datuk Rais Yasin berkata, ia berikutan terdapat beberapa sekolah di negeri ini yang dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat bencana banjir yang berlaku sejak Sabtu lalu.

“SK Kerubong ini baharu sahaja ditutup sebagai PPS dalam dua minggu yang lalu, sekarang kita telah buka kembali…saya juga mengambil maklum tentang keadaan sekolah yang akan dibuka minggu hadapan ini.

“Saya rasa pihak KPM sekarang sedang memantau situasi ini untuk kita lihat bagaimana.

“Insya-Allah mungkin akan ada prosedur operasi standard (SOP) ataupun kenyataan terbaru daripada KPM, saya rasa kita tunggu dan lihat bagaimana keputusannya nanti,” katanya ketika ditemui MHI di SK Kerubong hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, pembukaan semula sekolah perlu diteliti memandangkan bukan hanya Melaka terjejas banjir dan menjadikan sekolah sebagai PPS.

RAIS menyantuni penghuni di PPS SK Kerubong.

Bahkan, katanya, negeri-negeri lain yang terjejas banjir turut melakukan perkara sama.

“Bukan saja di Melaka berlaku banjir, ada sesetengah negeri baharu sahaja bermula banjir dan baharu saja sekolah-sekolah telah dijadikan sebagai PPS,” katanya.

Terdahulu Rais telah mengadakan lawatan di PPS SK Kerubong bagi melihat keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS tersebut.

Menurut Rais, sebanyak 68 keluarga melibatkan 303 mangsa ditempatkan di PPS tersebut yang mana 10 daripadanya adalah bayi.

“Alhamdulillah operasi PPS di sini berjalan baik sejak dari awal mangsa dipindahkan ke sini, cuma sekarang kita dalam usaha untuk menambah lagi selimut tebal buat mangsa banjir yang ada.

“Saya telah arahkan pihak Japerun dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenai penambahan selimut kepada mangsa banjir, kita pun dah beli lagi 58 helai selimut untuk diberikan kepada mereka di sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1576
Kongsi :
Previous post Banjir: KPDNHEP Melaka agih 1,000 sumbangan makanan kepada mangsa
Next post Ayam, telur, sayur di Melaka turun harga
Ubah saiz-+=