Banjir: KPDNHEP Melaka agih 1,000 sumbangan makanan kepada mangsa

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 3 Jan – Sebanyak 1,000 sumbangan berbentuk makanan telah diagihkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka kepada mangsa banjir di negeri ini.

Pengarahnya Norena Jaafar berkata, sumbangan itu merupakan kerjasama pihaknya bersama rakan penyumbang yang terdiri daripada pihak pasar raya, peruncit dan penyumbang individu.

Ujarnya, kesemua sumbangan itu diagihkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri ini

“Antara PPS yang disalurkan bantuan adalah di SK Kerubong (296 mangsa), Dewan PPR Krubong (50 mangsa), SK Taman Merdeka (197 mangsa), SJKC Malim (125 mangsa), Balai Raya Gadek (33 mangsa), SRA JAIM Jelatang (223 mangsa) dan SMK Seri Pengkalan (162 mangsa).

“Misi ini diteruskan lagi dengan mengenalpasti mangsa yang terjejas demi menjaga kebajikan mereka sebagai tanda prihatin KPDNHEP Melaka.

“Bagi mana-mana syarikat atau orang awam yang ingin membuat sumbangan kepada mangsa banjir melalui program FOODBANK, boleh menghubungi talian 06-2345822 (Puan Asshiqah),” katanya.

Beliau menambah, selain menyampaikan sumbangan, pihaknya akan menggerakkan Skuad Sukarelawan Banjir KPDNHEP Melaka bagi membantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir di kawasan terjejas.

Dalam pada itu, Norena turut meminta orang ramai agar tidak panik mengenai stok barangan keperluan asas sepanjang tempoh banjir yang berlaku di negeri ini.

“Pengguna di kawasan yang terlibat dengan bencana banjir dinasihatkan agar menjaga keselamatan serta kesihatan diri dan tidak perlu panik kerana KPDNHEP komited dalam memastikan bekalan barang kawalan sentiasa ada dipasaran serta barangan keperluan asas tidak terputus,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1044
Kongsi :
Previous post Banjir: ‘Baru cuci rumah, esoknya banjir lagi’
Next post Banjir: Melaka tunggu keputusan KPM mengenai pembukaan semula sekolah
Ubah saiz-+=