Banjir: ‘Baru cuci rumah, esoknya banjir lagi’

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KRUBONG 3 Jan – “Ini rumah pusaka mak bapak akak, kawasan ini memang kawasan banjir kita pun memang dah reda tak boleh nak kata apa…tapi tak jangka pula banjir kali ni lebih teruk”.

Itu rintihan Hamidah Hussin, 58, yang sekali lagi diuji musibah banjir kali keempat dalam tempoh tidak sampai setahun.

Dia yang sudah menetap hampir 15 tahun di Kampung Lanjut Manis berkata, banjir pada permulaan tahun baharu 2022 ini disifatkan paling teruk berbanding sebelum ini.

Mangsa banjir, Hamidah Hussin,58 ditemui di Kampung Lanjut Manis, Krubong, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Jumaat (31 Dis) dah mula hujan lebat, masa hari Sabtu ada kenduri kahwin adik, kami semua buat persiapan tapi dalam masa beberapa minit sahaja air dah mula naik sampai masuk rumah.

“Sebelum ini air tak terlalu tinggi jadi akak letaklah barang-barang dekat tempat lebih tinggi, tapi tak sangka pula kali ini banjir lagi tinggi jadi barang-barang yang dah simpan tu semua kena air.

“Semalam pagi air dah surut, tak sangka pula dalam jam 3 pagi, air naik mendadak semula sampai paras dada,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, Zaidin Dollah, 60, turut meluahkan nada yang sama dan reda dengan dugaan tersebut yang menimpa keluarganya.

Katanya, walaupun baru sahaja selesai mencuci rumah akibat musibah pertengahan bulan lalu, mereka sekali lagi diuji banjir berulang.

“Kita memang dah jangka sebab kampung berhampiran semua sudah dinaiki air jadi kita simpan barang siap-siap.

Penduduk, Zaidin Dollah,60 melihat keadaan jalan yang terputus akibat banjir yang melanda kediamannya di Kampung Lanjut Manis, Krubong, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Tak jangka air besar macam ni, biasa rendah je… kalau nak kira duduk sini tak boleh nak kira berapa kali dah banjir lagi-lagi tahun 2021.

“Semalam dah surut kita pun dah cuci rumah sikit-sikit, tapi malam air naik balik tak sampai 30 minit hujan lebat, apa lagi saya nak cakap kita terpaksa hadaplah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1245
Kongsi :
Previous post Banjir: Moratorium bantu usahawan PMKS terjejas
Next post Banjir: KPDNHEP Melaka agih 1,000 sumbangan makanan kepada mangsa
Ubah saiz-+=