Banjir: UnIPSAS tangguh istiada konvokesyen

KUANTAN, 19 Dis – Istiadat Konvokesyen ke-19 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di sini yang dijadualkan berlangsung esok ditangguhkan selepas universiti itu dinaiki air mulai malam tadi, kata Naib Canselornya Prof Madya Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin.

Beliau berkata istiadat itu melibatkan 465 pelajar dengan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk menyempurnakannya.

Beliau berkata persiapan untuk istiadat itu telah bermula sejak semalam dengan lebih 50 peratus siap seperti mendirikan khemah, menempah makanan, pengambilan jubah oleh pelajar selain mewajibkan tetamu menjalani ujian saringan COVID-19 dan persiapan selanjutnya sepatutnya bersambung hari ini.

Namun, katanya hujan lebat menyebabkan kawasan kampus mula dinaiki air sekitar 8.20 malam tadi dan meningkat dengan pantas sehingga menyebabkan beberapa kakitangan yang berada di dalam universiti terpaksa memindahkan kenderaan ke kawasan tinggi.

“Kita tiada pilihan selain menangguhkan istiadat kerana tidak pasti bila keadaan akan pulih memandangkan kami boleh diibaratkan ‘lumpuh’ kerana semua kawasan telah dinaiki air sehingga paras dada bagi kawasan rendah,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Zawavi berkata kejadian itu juga telah disembah maklum kepada Tengku Hassanal selaku Canselor yang turut menitahkan supaya istiadat tersebut ditangguhkan atas faktor keselamatan.

Beliau berkata pembatalan istiadat itu telah dimaklumkan kepada semua pelajar terlibat selain menyalurkan pemakluman berkenaan menerusi media sosial universiti.

“Pelajar yang sepatutnya meraikan hari gembira esok, harap bersabar. Saya sendiri dapat rasai keterujaan mereka untuk mengambil skrol semasa bertemu mereka yang datang mengambil jubah semalam,” katanya.

Mohd Zawavi berkata banjir itu lebih teruk berbanding kejadian pada 2013 kerana semasa itu, beberapa kawasan di dalam universiti masih selamat selain paras air tidak naik secara mendadak seperti semalam.

Kejadian banjir itu juga menyebabkan 12 kakitangan yang rumah mereka turut dinaiki air ditempatkan di tingkat dua asrama, selain petugas telah bergilir-gilir memindahkan peralatan di Pejabat Hal Ehwal Pelajar ke tempat tinggi memandangkan pejabat itu berada di aras rendah.

Mohd Zawavi berkata pelajar yang berhadapan kesukaran akibat banjir boleh menghubungi pihak universiti menerusi jawatankuasa bencana supaya bantuan sewajarnya dapat disalurkan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

887
Previous post Laman rumah dipenuhi timbunan kayu, pokok besar tumbang akibat banjir
Next post Banjir: 595 mangsa di 9 pusat pemindahan Melaka