Bantu mangsa kemalangan terima bantuan PERKESO

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER LIMAU 9 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer akan menghulurkan bantuan bagi memudahkan urusan mangsa kemalangan langgar lari, Fazli Rusli untuk menerima bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Dalam pada sama, Hameed Mytheen turut menasihatkan pengguna jalan raya, terutama penunggang motosikal mengamalkan sikap bertimbang rasa dan mematuhi had laju bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Katanya, kemalangan yang menimpa mangsa langgar lari, Fazli, 26 perlu dijadikan pengajaran bagi memastikan semua pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal supaya mengamalkan sikap bertimbang rasa dan sentiasa mematuhi had laju.

“Saya minta pengguna jalan raya, lebih-lebih lagi penunggang motosikal supaya sentiasa berwaspada di jalan raya bagi mengelak terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika mengunjungi Fazli di kediamannya di Kampung Ramuan Cina Besar, di sini hari ini.

Hameed berkata, selain memberikan sumbangan kepada Fazli, dia akan mencuba menguruskan bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk mangsa terbabit.

Fazli menjadi mangsa langgar lari dan terpaksa hidup dengan bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.

Selain kesakitan di kaki kiri akibat patah, Fazli juga terpaksa menanggung penderitaan mental akibat tertekan dengan kejadian itu.

Sejak tiga bulan lalu Fazli tidak mampu melangkah seperti sebelum ini berikutan kaki kirinya patah akibat dilangar lari
sebuah kereta di Jalan Lapangan Terbang Batu Berendam berhampiran lapangan terbang berkenaan.

“Saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di lapangan terbang itu dan ketika kejadian jam 2.30 petang, saya menunggang motosikal untuk membeli makanan.

“Bagaimanapun, kereta dari arah belakang merempuh saya yang menyebabkan saya pengsan, katanya.

Akibat rempuhan itu Fazli melambung beberapa meter sebelum tergolek di tepi jalan manakala pemandu kereta terbabit melarikan diri.

Katanya, apabila sedar dia mencuba berdiri tetapi dilarang oleh pengguna jalan raya yang membantunya kerana daripada kecederaan dialaminya, mereka mengesyaki kaki kirinya patah.

Berikutan itu, Fazli dirawat seminggu di Hospital Melaka sebelum dibenarkan pulang sementara menunggu kaki kirinya dipasang besi.

Dia berkata, sambutan Aidilfitri lalu dan Aidiladha ini terpaksa disambut dengan dukacita dan seadanya kerana tidak mampu bergerak bebas seperti sebelum itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1116
Kongsi :
Previous post Kerajaan sambut baik hasrat Turkiye bangunkan vaksin di Malaysia
Next post Tiada usul undi tidak percaya, 20 ADUN Melaka berdiri teguh belakang KM
Ubah saiz-+=