Sorting by

×

Tiada usul undi tidak percaya, 20 ADUN Melaka berdiri teguh belakang KM

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 9 Julai – Kesemua 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional di Melaka menyuarakan sokongan tidak berbelah bahagi dan berdiri teguh kepada kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Fairul Nizam Roslan berkata, spekulasi yang dimainkan pihak tidak bertanggungjawab sejak akhir-akhir ini adalah sama sekali tidak berasas.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Melaka berkata, sejak pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak pernah sekalipun diadakan perbincangan untuk menukar Ketua Menteri.

Malah, beliau berkata, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh juga sentiasa mengarahkan agar wakil rakyat di negeri ini bersama-sama membantu membangunkan semula Melaka bersama Ketua Menteri pasca COVID-19.

“Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini diminta henti membuat spekulasi lagi kerana ia akan memberi impak yang kurang baik di atas usaha-usaha yang telah dibuat oleh Ketua Menteri bagi memulihkan kembali kepercayaan pelabur dan rakyat.

“Yakinlah, kerajaan yang ada hari ini cukup kuat dan stabil.. sebab itu ada yang cemburu dan iri hati.

“Kerana mereka percaya kekuatan kami hanya boleh diruntuhkan dengan perpecahan dalam kalangan kami. Cukuplah sekali.. kami dan rakyat dah muak dengan agenda jahat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas mengenai dakwaan bakal ada usul undi tidak percaya terhadap Sulaiman akan dibangkitkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan turut menafikan sekeras-kerasnya perkara itu.

“Saya sudah semak.. tiada usul dihantar oleh mana-mana wakil rakyat berkenaan undi tidak percaya pada Ketua Menteri menjelang persidangan dewan akan datang.

“Malah, mesyuarat Perhubungan negeri baru-baru ini pun berjalan dalam keadaan mesra dan harmoni. Masing-masing menyampaikan pandangan dan idea dalam persediaan menghadapi PRU akan datang dan ia cukup harmoni.

“Kami fokus kerja untuk rakyat Melaka di samping memperkuatkan jentera untuk siap siaga menghadapi PRU,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

943
Kongsi :
Previous post Bantu mangsa kemalangan terima bantuan PERKESO
Next post Bantuan Aidiladha Melaka meningkat RM1 juta
Ubah saiz-+=