Sorting by

×

Kerajaan sambut baik hasrat Turkiye bangunkan vaksin di Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

ANKARA, 8 Julai- Malaysia menyambut baik tawaran Turkiye untuk memindahkan teknologi vaksin dan menjalankan kajian pembangunan vaksin secara bersama.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau akan meminta Kementerian Kesihatan meneliti tawaran tersebut.

“Saya menyambut baik tawaran Presiden (Recep Tayyip) Erdogan untuk bekerjasama dalam pembangunan vaksin COVID-19, Turkovac buatan Turkiye. Saya akan meminta Kementerian Kesihatan untuk meneliti tawaran ini. Selaras dengan pelan hala tuju pembangunan vaksin negara yang telah saya lancarkan pada tahun lalu,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasmi empat hari ke republik itu.

Selepas pertemuan dengan Ismail Sabri di sini pada Khamis, Erdogan berkata Turkiye berharap peningkatan hubungannya dengan Malaysia kepada perkongsian strategik yang menyeluruh akan terus memperkukuh kerjasama ekonomi dan komersial termasuk pembangunan vaksin.

Menurut Erdogan, antara pelan segera republik itu, yang menjadi negara kesembilan di dunia mampu menghasilkan sendiri vaksin COVID-19 tahun lepas, ialah melancarkan vaksin Turkovac di Malaysia.

Dalam pada itu, Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) telah menandatangani MoU bersama Aktuel Expo Healthcare International Fair Company bagi memperkasa Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan bertaraf dunia, kata Ismail Sabri.

Katanya, dengan kepakaran Malaysia dalam kesuburan in-vitro (IVF), kardiologi, onkologi, pergigian, pembedahan plastik dan beberapa bidang lain, Turkiye merupakan antara pasaran utama Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba yang turut sama dalam lawatan itu berkata usaha itu akan membantu mempercepatkan lagi pembangunan vaksin buatan Malaysia.

“Ini merupakan satu usaha dan kolaborasi memungkinkan pihak kita dapat membangunkan vaksin dengan lebih pantas memandangkan pertukaran teknologi, perkongsian kepakaran, pembangunan dan penyelidikan sedang berlangsung,” tambah beliau.

Menurut Dr Adham, Malaysia juga mempunyai kepakaran, keupayaan dan kapasiti untuk bersama-sama membangunkan vaksin seperti ini.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1546
Kongsi :
Previous post Berang ditegur tidak bekerja dipercayai punca lelaki bunuh abang, kakak ipar
Next post Bantu mangsa kemalangan terima bantuan PERKESO
Ubah saiz-+=