Bantuan asnaf MAIM telah dinaikkan sejak Januari

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

SERI NEGERI 25 Julai – Pelbagai bentuk bantuan disalurkan kepada golongan asnaf di bawah kendalian Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah dinaikkan bagi meringankan bebanan yang ditanggung terutama dalam pasca pandemik COVID-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, tambahan RM50 diberikan kepada golongan asnaf yang mempunyai tanggungan melebih tiga orang anak sejak 1 Januari lalu.

Jelasnya, ketika ini asnaf menerima bantuan RM250 setiap bulan berbanding RM200 sebelum ini.

Selain itu, katanya golongan berkenaan turut dilimpahi dengan pelbagai peningkatan bantuan lain antaranya bantuan Syawal dan Ramadan serta Bantuan Aidiladha.

“Asnaf yang mempunyai tanggungan lebih tiga orang akan menerima tambahan sebanyak RM50 untuk Bantuan Makanan Bulanan melibatkan pertambahan bantuan keseluruhan berjumlah RM796,000 iaitu 25 peratus kenaikan berbanding kadar asal.

“Bagi peruntukan Bantuan Persediaan Ramadhan Syawal Asnaf MAIM telah ditambah daripada RM5,336,750 kepada RM7,053,600 dengan kenaikan sebanyak 32 peratus.

“Jumlah peruntukan Bantuan Aidiladha Asnaf MAIM juga dinaikkan daripada RM1,324,000 kepada RM3,038,400 iaitu peningkatan sebanyak 129.5 peratus kenaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan diajukan Adly Zahari (Amanah-Bukit Katil) pada Persidangan Ketiga Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15, di Seri Negeri, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau turut menyatakan kerajaan negeri sentiasa cakna dengan kesempitan dan kesulitan yang dihadapi rakyat dalam mendepani kenaikan harga barangan dan kos sara hidup.

Limpahan peningkatkan bantuan itu juga turut diagihkan menerusi beberapa inisiatif yang diagihkan kerajaan negeri menerusi Program Bantuan Persediaan Ramadhan Syawal, Sumbangan BerasFidyah kepada semua Japerun dan program Syahrur Ramadhan yang diadakan khusus buat kelompok barisan hadapan, pelanggan jabatan dan beberapa sasaran lain.

“Keseluruhannya bagi Bantuan Persediaan Ramadan Syawal golongan asnaf, fakir, miskin dan muallaf telah menerima limpahan ini apabila kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM6,996,250.

“Bagi agihan beras fidyah sebanyak RM162,000 diperuntukkan kepada semua Japerun di Melaka diikuti sebanyak RM141,346 diperuntukkan buat program Syahrur Ramadan tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2303
Kongsi :
Previous post Tokoh korporat Tan Sri Mustapha Kamal meninggal dunia
Next post Penerima zakat dinilai sebaiknya
Ubah saiz-+=