Bantuan perumahan rakyat memerlukan diteruskan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

GADEK 19 Mac – Bantuan perumahan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek akan terus diperluaskan tahun ini bagi memastikan kebajikan golongan memerlukan terus terbela.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, VP Shanmugam berkata, pihak komited akan memastikan kebajikan golongan memerlukan terus mendapat perhatian menerusi pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan bagi membantu golongan tersebut meneruskan kehidupan.

Beliau yang juga Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri berkata, setakat ini, pihaknya menerima kira-kira 10 permohonan mendapatkan rumah yang kesemuanya sedang dinilai bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang betul-betul memerlukan.

“Sebanyak empat bantuan projek perumahan telah dibina menerusi inisiatif disalurkan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) setakat ini dan sebuah lagi rumah juga sedang disiapkan hasil daripada bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Kita juga sedang memproses empat buah rumah lagi yang dimohon golongan memerlukan bagi memastikan warga DUN Gadek dibantu sewajarnya.

“Bantuan perumahan ini perlu diperluaskan dan ini merupakan sebuah program yang amat baik buat rakyat dan merupakan salah satu cara kita membanteras kemiskinan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Sumbangan Asnaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Kediaman Nasiron Tandir, di Kampung Padang Sebang, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Pejabat KKDW Melaka, Mohd Faizal Musa serta barisan kepimpinan akar umbi di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Shanmugam berikrar untuk memastikan lebih banyak program perumahan rakyat dibina di kawasan itu dengan kerjasama semua agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Program ini amat penting lebih-lebih lagi Melaka merupakan negeri sifar miskin tegar, jadi kita perlu kekal dan pastikan kesejahteraan rakyat dipelihara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

103
Kongsi :
Previous post Dataran MBMB ‘port’ santai berbuka puasa
Next post Evolusi Bazar Ramadan Masjid Tanah
Ubah saiz-+=