Bantulah kami…

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 3 Nov. – Pemain industri pelancong di negeri ini, masing-masing mengharapkan bantuan dari Kerajaan Melaka menerusi pembentangan Belanjawan Melaka 2021, minggu depan bagi meredakan seketika situasi ‘tenat’ akibat gelombang ketiga COVID-19 seluruh negara.

Menurut Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka Khairulnizam Kasim, kebanyakan hotel bertaraf tiga bintang ke atas kini berdepan risiko gulung tikar susulan ketiadaan pelancong sejak akhir-akhir ini.

Justeru, beliau mencadangkan agar Belanjawan Melaka 2021 yang dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali pada 9 hingga 11 November depan memberi penekanan terhadap sektor berkenaan.

“Kita memang amat tertekan buat masa ini. Jadi, apa vang saya harapkan ialah kerajaan negeri dapat memberi potongan cukai pintu yang dikenakan setiap enam bulan.

“Kebiasaannya awal tahun lagi kami dah kena bayar dan jumlahnya tersangat tinggi. Seperti contoh, hotel saya perlu membayar (cukai pintu) sekitar RM80,000 dan ia amat membebankan dalam keadaan seperti ini.

“Selain itu, kerajaan juga boleh membantu dari segi memberi pengurangan terhadap caj bil elektrik untuk membantu pengusaha hotel,” ujarnya.

Khairulnizam berkata, sehingga kini masih terdapat banyak hotel yang tidak beroperasi, malah terdapat sebahagian hotel-hotel besar sudah menghentikan operasi.

Sementara itu, Persatuan Hotel Bajet Negeri Melaka (Mybha) turut meluahkan kegusaran terhadap kemerosotan perniagaan sejak perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mula dikenakan di Lembah Klang.

Pengerusinya Sazali Sabri berkata, ketiadaan pelancong dari Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya yang menjadi penyumbang terbesar kepada Melaka amatlah dirasai semua pemain industri pelancongan dan peniaga-peniaga kecil.

“Sebab itulah kita harap Kerajaan Persekutuan dan negeri memberi penekanan kepada sektor pelancongan. Kita sangat berharap sesetengah insentif seperti subsidi upah dan moratorium yang diberikan sebelum ini dapat diteruskan.

“Jika tiada bantuan, kita khuatir industri ini tidak dapat hidup dalam tempoh dua ke tiga bulan akan datang. Sebab itulah, kita sangat menantikan pengumuman bantuan yang dapat memberikan sedikit talian hayat untuk kita terus bertahan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka Goh Hock Gin pula meminta agar kerajaan negeri dapat mengeluarkan peruntukan daripada cukai warisan untuk membantu aspek promosi dan pemasaran sektor pelancongan Melaka.

“Kutipan daripada cukai warisan yang diterima sangat penting untuk membantu pemain industri. Saya tidak hanya maksudkan ahli di bawah persatuan saya sahaja tetapi semua pemain industri yang ada di Melaka.

“Kita percaya peruntukan daripada kutipan cukai itu boleh digunakan untuk memberi insentif yang khusus kepada pemain industri bagi tujuan promosi dan pemasaran.

“Saya berpendapat itu antara cara yang boleh membantu semua dalam industri ini untuk bangkit semula selepas pandemik COVID-19 berakhir nanti,” katanya.

Views:

562
Kongsi :
Previous post Usul bantah kenyataan Presiden Perancis dibincang dalam kamar khas
Next post Batu Berendam rekod 1 kes positif COVID-19
Ubah saiz-+=