Bau busuk rungsingkan penduduk Klebang Besar

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KLEBANG 1 Jun – Busuk dan meloyakan! Itu luahan penduduk Rumah Awam 1 Pulau Gadong, Klebang Besar di sini susulan berlakunya pencemaran bau di sebatang anak sungai berhampiran.

Menurut salah seorang penduduk, Jaliah Abdul, 58, pencemaran itu mula berlaku sejak beberapa bulan lalu apabila terdapat banyak longgokan sampah mencemari sungai berkenaan sehingga membuatkan air sungai bertukar kotor selain turut menimbulkan bau yang kurang menyenangkan.

Ujarnya, keadaan tersebut turut diburukkan lagi dengan kehadiran haiwan berbisa seperti ular dan biawak.

“Mak cik sudah duduk sini lebih enam tahun. Sebelum ini kawasan sungai memang cantik. Ramai yang suka datang ke sini untuk bergambar dan memancing. Tetapi dengan keadaan sekarang, kawasan ini sudah makin terbiar.

“Keadaan ini diburukkan lagi dengan bau busuk yang mengganggu penduduk. Disebabkan bau busuk, mak cik nak buka pintu belakang pun tak berani. Bukan saja sebab bau busuk, tetapi juga takut kalau ada haiwan tak diingini masuk ke rumah kerana rumah mak cik ada cucu yang masih kecil,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mahadi Yusof, 43 turut mengakui perkara berkenaan dan meminta pihak berwajib segera bertindak untuk mengelakkan pencemaran itu berlaku lebih teruk.

“Sebelum sungai ini lebih teruk tercemar, adalah lebih baik pihak berwajib segera tampil membersihkannya bagi mengembalikan keindahan sungai ini.

“Suatu masa dulu sungai inilah tempat kami bermandi-manda dan menangkap ikan. Sekarang memang tak selesa,” katanya.

Bertindak hasil aduan penduduk, Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Seri Idris Haron telah meluangkan masa melawat kawasan berkenaan hari ini.

Mengulas mengenai pencemaran di sungai tersebut, Idris berkata pihaknya akan segera membawa perkara berkenaan ke pihak yang bertanggungjawab untuk melakukan penyelenggaraan dengan segera.

“Sungai merupakan anugerah alam yang perlu kita pelihara. Jadi, amatlah sayang jika ia tidak dijaga dengan baik kerana dikhuatiri kelak ia akan membawa bencana kepada kita semua.

“Sebab itulah, hari ini saya terus turun melawat ke tapak ini dan membawakan isu penyelenggaraan sungai ini kepada agensi dan pihak berkuasa tempatan yang sepatutnya bagi membolehkan semangat sungai dikembalikan dan seterusnya mampu memberi nilai tambah kepada penduduk di masa akan datang kerana saya percaya sungai ini mempunyai potensi besar,” katanya.

Hadir sama ke tinjauan tersebut ialah Pengerusi Pertubuhan Pembela Klebang Besar, Datuk Mohd Yusof Abu Hasan.

Views:

768
Kongsi :
Previous post Penunggang motosikal retak tempurung kepala dirempuh pemandu mabuk
Next post Fish wholesaler charged with killing Irwan Herman
Ubah saiz-+=