Bawa pulang dokumen dan artifak sejarah Melaka di luar negara sempena TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

SERI NEGERI 27 November – Kerajaan Negeri akan membawa pulang dokumen dan artifak yang berada di luar negara untuk dipamerkan kepada rakyat Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata dokumen dan artifak tersebut akan dibawa pulang menerusi peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM25 juta.

Katanya, peruntukan terbabit turut digunakan untuk naik taraf aset warisan sedia ada dan pelaksanaan program warisan.

“Kerajaan Negeri juga melaksanakan Kajian Pengukuhan Kewujudan Lagenda Hang Tuah dan Kesultanan Melayu Melaka dengan menjejak warisan yang berada di pelbagai negara sama ada di Benua Asia mahupun Eropah.

“Kajian ini dilaksanakan untuk mengetahui dan mendalami tentang pensejarahan Tamadun Melayu Melaka yang telah kebanyakannya dipadam oleh pihak penjajah.

“Penemuan dokumen berkaitan hubungan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan Kerajaan Turki Uthmaniyah serta naskah manuskrip Hikayat Hang Tuah tertua di dunia bertarikh 1758 di Leiden University, Amsterdam termasuk beberapa naskah Hikayat Hang Tuah dalam pelbagai versi bahasa seperti Jerman, Rusia, Belanda, Perancis, Inggeris dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Bajet 2024 Negeri Melaka bertemakan ‘Menelusuri Warisan, Mengembalikan Kegemilangan’ pada Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pasukan kajian turut telah menemui peta lama Planisfera Cantino yang tercatat nama Malaqua bertarikh 1502 di Museu Marinha, Lisbon.

“Terdapat banyak manuskrip berkaitan Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka di British Library, United Kingdom.

“Berdasarkan penemuan ini, Kerajaan Negeri telah mula mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak untuk membawa pulang dokumen dan artifak terbabit untuk dipamerkan kepada rakyat Melaka sempena TMM2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

573
Kongsi :
Previous post Sewa percuma setahun usahawan mula berniaga di Pulau Melaka
Next post Parkir, akses percuma ke pusat pelancongan sempena 20 Februari
Ubah saiz-+=