‘Bayar cukai taksiran, elak premis disita’

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 22 Jun – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) merekodkan sejumlah RM169,402.70 tunggakan cukai taksiran belum dijelaskan yang membabitkan 32 pemilik premis.

Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, jumlah itu direkodkan menerusi ‘Operasi Kutipan Cukai Taksiran Harta Pintu Ke Pintu’ terhadap premis didapati mempunyai tunggakan cukai yang tinggi.

“Unit Pengurusan Tunggakan, Jabatan Kewangan MPHTJ berjaya menjalankan ‘Operasi Kutipan Cukai Taksiran Harta Pintu Ke Pintu’ terhadap premis yang masih belum membayar cukai taksiran. Lokasi operasi adalah sekitar Taman Merdeka, Taman Merdeka Permai dan Taman Merdeka Jaya melibatkan sebanyak 32 premis.

“Pemilik telah diberi Notis Borang E yang memerlukan pemilik harta membuat pembayaran dalam tempoh 15 hari selaras dengan keperluan Seksyen 147, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171),” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sapiah turut mengingatkan orang ramai terutama pemilik premis supaya menjelaskan tunggakan bayaran cukai harta dengan kadar segera bagi mengelakkan premis mereka disita.

“Alhamdulillah setakat ini tiada sitaan dibuat kerana pemilik premis memberikan kerjasama membuat bayaran sama ada secara penuh atau ansuran.

“Kerjasama warga Hang Tuah Jaya menjalankan tanggungjawab untuk menjelaskan bayaran cukai taksiran amat dihargai demi perkhidmatan terbaik di MPHTJ untuk semua,” katanya.

Terdahulu operasi berkenaan melibatkan sembilan kakitangan daripada jabatan kewangan, jabatan penguatkuasaan, jabatan pelesenan dan Unit Undang-Undang MPHTJ.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

120
Kongsi :
Previous post 5 pekerja pembersihan Melaka terima anugerah
Next post 16 Politeknik ambil bahagian Kejohanan Ragbi POLY 7s
Ubah saiz-+=