Bayar zakat pendapatan melalui potongan gaji bulanan

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Umat Islam khususnya kakitangan kerajaan dan swasta dipelawa mendaftar untuk membayar zakat pendapatan melalui kempen Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) yang dibuka mulai 1 Ogos lepas hingga 31 Nov ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Ahmad Shukri Yusoff berkata selain menggalakkan umat Islam membayar zakat, kempen itu sebagai galakan kepada pembayar zakat sedia ada menambah jumlah bayaran mereka.

“Kami di PPZ-MAIWP akan sentiasa bergerak ke hadapan untuk menyediakan saluran bayaran zakat yang lebih mesra pelanggan mengikut kehendak umum agar tiada lagi alasan untuk tidak menunaikan kewajipan zakat.

“Kami akan berusaha untuk memperkemaskan sistem dan kemudahan dari semasa ke semasa,” katanya dalam sidang media mengenai kempen Skim PZB di sini malam tadi.

Beliau berkata pihaknya menggalakkan orang ramai memilih Skim PZB untuk membayar zakat pendapatan kerana cara itu lebih mudah serta tidak membebankan.

Ahmad Shukri berkata pihaknya turut menawarkan empat komputer riba, 40 kad petrol, 40 helai telekung eksklusif dan 100 baucar beli-belah khas kepada mereka yang bertuah.

Orang ramai boleh menyertai Skim PZB secara dalam talian melalui laman sesawang ptg.zakat.com.my atau mendaftar secara manual di kaunter PPZ-MAIWP di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, kaunter bergerak atau majikan.

Pereka fesyen Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil, yang hadir pada sidang media itu, berkata mereka menyokong skim tersebut dan telah berdaftar secara dalam talian sejak awal Januari 2017.

“Kami sebagai majikan membuat potongan zakat melalui skim ini untuk kakitangan. Ada masanya sibuk dan lupa, jadi bila buat potongan gaji bulanan ia amat memudahkan, saham akhirat pun sudah terjelas,” kata Rizman.

Ahmad Shukri juga berkata jumlah kutipan zakat PPZ-MAIWP dari Januari hingga akhir Julai tahun ini ialah sebanyak RM404 juta, meningkat sembilan peratus berbanding RM372 juta bagi tempoh sama pada 2019.

Beliau berkata bagi tempoh itu juga, jumlah pembayar zakat turut meningkat 95 peratus dengan seramai 345,000 orang direkodkan berbanding 177,000 pada tahun sebelumnya.

Katanya sepanjang tahun lepas, PPZ-MAIWP mengutip zakat berjumlah RM683 juta dan pada tahun ini, menyasarkan kutipan kira-kira RM690 juta hingga RM700 juta.

— BERNAMA

Views:

1123
Kongsi :
Previous post Arwah ibu sering ingatkan jaga kesihatan
Next post Melaka tunggu ‘lampu hijau’ KBS anjur kejohanan e-sukan peringkat negeri
Ubah saiz-+=