Arwah ibu sering ingatkan jaga kesihatan

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat
SHAHIDAN menunjukkan sebahagian daripada pintu dapur yang terbakar di kediaman Allahyarhamah Kamariah di Kampung Nerambai. Foto Din Ahmad

AYER LIMAU 12 Ogos – Jaga kesihatan kerana dengan kesihatan yang baik, kita dapat beribadat dengan sempurna.

Itulah pesanan yang sering diberikan bekas bidan yang meninggal dunia akibat disambar api dapur kelmarin kepada tiga anaknya bagi memastikan mereka berupaya untuk beribadat dan memimpin keluarga masing-masing.

Anak bongsu Allahyarhamah Kamariah Derauh, 92, Rozlan Omar, 56, berkata, kali terakhir beliau mendengar pesanan seumpama itu adalah pada Aidiladha lalu ketika beliau dan dua abangnya pulang ke Kampung Nerambai, Lubok Cina di sini untuk meraikan hari raya bersama arwah.

“Sebagai bekas bidan, arwah memang sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan dan sering menasihati kami supaya sentiasa menjaga kesihatan kerana dengan kesihatan yang baik, kita dapat beribadat.

“Bagaimanapun, saya tidak sangka pesanan pada Aidiladha itu adalah yang terakhir sebelum arwah pulang ke rahmatullah,” katanya ketika dihubungi di Subang, Selangor hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi kelmarin, arwah Kamariah yang tinggal bersama pembantu rumah berusia 52 tahun, meninggal dunia akibat terbakar selepas pakaiannya disambar api dapur.

Ketika kejadian, pembantu rumah yang berasal dari Pendang, Kedah dikatakan keluar ke Pekan Lubok Cina untuk mendapatkan rawatan di klinik pergigian.

Anak saudara mangsa, Izaftah Idris, 63, dan suaminya, Shahidan Nordin, 64, yang ditemui di lokasi kejadian berkata, arwah tinggal bersendirian di kediaman itu sejak kematian suami beberapa tahun lalu dan pembantu rumah terbabit diupah tiga anaknya untuk membantu menguruskan kehidupannya sejak sebulan lalu.

“Sejurus selepas menerima berita kematian arwah, kami bergegas bertolak dari kediaman kami di Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk menghadiri pengebumian arwah pada awal pagi semalam,” katanya.

Beliau berkata, arwah ibu saudaranya dikenali dalam kalangan anggota komuniti di kampung itu sebagai bidan yang amat mementingkan aspek penjagaan kesihatan, terutama dalam kalangan waita hamil.

Katanya, arwah sering menasihati beliau dan anak saudara yang lain supaya tidak mengabaikan pemeriksaan darah bagi memastikan sentiasa sihat.

“Arwah mempunyai alat memeriksa tekanan darah dan hampir setiap hari arwah memeriksa tekanan darahnya supaya tidak terlalu tinggi dan juga terlalu rendah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam ketika dihubungi berkata, berdasarkan penelitian kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman itu, arwah disambar api dapur dan mencuba memadamkannya tetapi tidak terdaya berikutan sudah uzur.

Jenazah mangsa dijumpai anak saudaranya, Yusri Nizam Yusuf, 42, yang ketika kejadian berada di kebun kelapa sawit kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

Views:

552
Kongsi :
Previous post Perikanan Melaka sita tujuh unit bubu naga
Next post Bayar zakat pendapatan melalui potongan gaji bulanan
Ubah saiz-+=