Sorting by

×

Perikanan Melaka sita tujuh unit bubu naga

Masa Membaca:58 Saat

AYER KEROH 12 Ogos – Jabatan Perikanan Melaka telah menyita tujuh unit bubu naga melalui dua operasi yang dilakukan kira-kira 0.1 batu nautika dari persisiran pantai Pulau Melaka, baru-baru ini.

Pengarahnya Mohd Fauzi Salehon berkata, operasi yang dijalankan Unit Perlindungan Sumber sekitar perairan Melaka itu bertujuan membanteras pemasangan bubu naga yang menyalahi undang-undang.

Katanya, kes berkenaan adalah yang pertama dilaporkan tahun ini dan pihaknya akan terus melakukan pemantauan supaya ia tidak berulang dalam usaha menjaga ekosistem laut Melaka.

“Bubu naga bukan dikategorikan sebagai bubu biasa yang digunakan nelayan. Bubu adalah peralatan menangkap ikan yang mempunyai tidak melebihi dua injap dan sekiranya lebih dia dikategorikan bukan bubu. Jadi, bubu naga bukan satu peralatan yang dibenarkan untuk menangkap ikan.

“Ini kerana, melalui penggunaan bubu naga, ia boleh menjejaskan sumber perikanan memandangkan ia turut memerangkap anak-anak ikan yang akan membesar sekali gus menyebabkan sumber perikanan akan terjejas,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Katanya, kesalahan yang dilakukan itu tertakluk di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 Memasang, atau menyebabkan dipasang, apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah sebelum sesuatu lesen berkenaannya dikeluarkan.

Views:

402
Kongsi :
Previous post ‘Makcik lebih rela mati kat sini’
Next post Arwah ibu sering ingatkan jaga kesihatan
Ubah saiz-+=