Sorting by

×

Bayi 21 hari mangsa banjir termuda di PPS

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

SUNGAI RAMBAI 6 Mac – Bayi perempuan berusia 21 hari menjadi mangsa banjir termuda berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah, di sini, apabila dia bersama ibu dan bapanya terpaksa berpindah selepas kediaman mereka dinaiki air.

Ibu bayi terbabit Noor Adilla Kharrudin, 33, yang masih dalam tempoh berpantang berkata, dia bersama, suami dan lapan anak diminta berpindah ke PPS apabila kediamannya di Kampung Parit Putat Benteng, Sungai Rambai, mula dinaiki air separas buku lali pada Jumaat malam.

“Mujurlah ini bukan kali pertama saya berpantang di PPS, sekurang-kurangnya dengan pengalaman sebelum ini sedikit sebanyak dapat membantu saya untuk uruskan diri dan bayi di sini.

“Walaupun terpaksa berpantang di sini, semuanya terjaga malah jururawat pun ada datang untuk melihat keadaan saya dan anak. Syukurlah bayi kami tidak meragam sepanjang di sini,” katanya ketika ditemui di PPS SK Batu Gajah, selepas lawatan Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Siti Faizah Abd Azis dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Burhanuddin Bachik.

Noor Adilla berkata, selain mereka anak beranak turut berpindah ke PPS itu ialah 17 ahli keluarga yang lain termasuk ibu dan bapa serta kakaknya.

photo1678091399
Suasana penduduk yang ditemui ketika tinjauan banjir yang melanda di Kampung Parit Putat Benteng, Sungai Rambai, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Bagi seorang lagi mangsa banjir Asmah Ab Ghani, 58, berkata, sepanjang 40 tahun menetap di Jalan Simen, Batu Gajah, banjir kali ini adalah yang kedua yang terburuk selepas tahun 2006 apabila air mencecah sehingga ke paras peha.

“Boleh katakan paras air pada malam Jumaat itu naik setiap lima minit, mujurlah sebelum itu saya dan anak sudah mula berkemas sehinggalah pagi Sabtu apabila tong gas pun turut ‘bercium sesama sendiri’.

“Saya juga berdepan detik cemas apabila bertembung dengan ular ketika mahu berpindah keluar ke PPS, mujurlah tiada apa-apa. Kali ini saya sendiri tidak tahu berapa lama lagi akan berada di PPS kerana air masih ‘termenung’.

“Dari pengalaman sebelum ini, saya akan lebih berhati-hati untuk pulang ke rumah kerana bimbang akan kehadiran binatang berbisa seperti ular kerana pada tahun 2006 selepas banjir, ketika berkemas saya menemui ular sawa berada di dalam almari,” katanya.

Untuk rekod, susulan hujan lebat berterusan sejak Rabu lalu, lebih 200 penduduk di sekitar kawasan Batu Gajah terpaksa berlindung di PPS selepas kediaman mereka tidak selamat diduduki apabila paras air semakin meningkat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1758
Kongsi :
Previous post 8,500 keluarga fakir dan miskin Melaka terima bantuan zakat
Next post Golongan memerlukan tidak terpinggir – Mohd Ridhwan
Ubah saiz-+=