8,500 keluarga fakir dan miskin Melaka terima bantuan zakat

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BUKIT KATIL 6 Mac – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan mengagihkan bantuan zakat kepada kira-kira 8,500 Ketua Isi Rumah (KIR) membabitkan golongan fakir dan miskin di negeri ini bersempena kehadiran Ramadan tidak lama lagi.

Setiausaha MAIM, Muhammad Ikram Ibrahim berkata, agihan bantuan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu penerima zakat bagi fakir yang menerima bantuan RM400 dan kategori miskin menerima bantuan RM250.

Selain itu, katanya, bantuan zakat itu turut diagihkan kepada kira-kira 10,000 tanggungan isi rumah membabitkan dua kategori itu.

“Untuk tahun ini untuk ketua isi rumah bagi kategori fakir akan menerima RM400 setiap keluarga, manakala untuk ketagori miskin pula akan mendapat RM250 bagi setiap ketua keluarga.

“Selain itu, bagi orang yang ditanggung setiap keluarga itu akan menerima bantuan sebanyak RM100, yang mana ia bergantung kepada bilangan isi rumah yang ada pada setiap penerima bantuan ini.

“Selain bantuan Ramadan dan Syawal, MAIM juga akan membuat agihan bantuan di surau dan masjid, pegawai syarak dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengagihan Bantuan Ramadan dan Syawal serta Pengagihan Fidyah bagi tahun 2023 di Kompleks Japerun Bukit Katil di sini, hari ini.

Majlis agihan tersebut telah disempurnakan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Pada majlis itu seramai 431 penerima terdiri daripada 13 penerima kategori fakir dan 418 penerima kategori miskin menerima bantuan berkenaan.

Dalam pada itu, Muhammad Ikram berkata, untuk majlis penyampaian pertama yang diadakan hari ini, bantuan diagihkan kepada DUN Bukit Katil dan DUN Pantai Kundor melibatkan peruntukan bantuan berjumlah RM255,550.

Katanya, bantuan itu akan diserahkan secara berperingkat mengikut DUN dan dijangka akan selesai diagihkan menjelang Ramadan.

“Jumlah keseluruhan peruntukan insya-Allah akan diumumkan Ketua Menteri pada 15 Mac ini iaitu pada Majlis Pembukaan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2858
Kongsi :
Previous post MiCoST, universiti Indonesia jalin MoU pertukaran pelajar
Next post Bayi 21 hari mangsa banjir termuda di PPS
Ubah saiz-+=