Golongan memerlukan tidak terpinggir – Mohd Ridhwan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BUKIT KATIL 6 Mac – Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Bukit Katil terus mendekati penduduk bagi mengenal pasti segala permasalahan dihadapi penduduk di kawasan itu.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, pihaknya akan mengadakan lawatan atau turun padang bagi memastikan golongan memerlukan di DUN itu tidak dipinggirkan.

“Di peringkat Japerun kita juga sentiasa bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setiap kawasan untuk memantau masalah mereka (penduduk).

“Kita akan pastikan setiap aduan dan permohonan bantuan diminta atau disuarakan masyarakat dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang mungkin ramai golongan yang memerlukan bantuan, sebab itu jika ada sumbangan ia akan disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengagihan Bantuan Ramadan dan Syawal serta Pengagihan Fidyah bagi tahun 2023 di Kompleks Japerun Bukit Katil di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Muhammad Ikram Ibrahim.

Terdahulu Mohd Ridhwan menyampaikan bantuan kepada seramai 431 penerima yang mana 13 penerima adalah kategori fakir dan 418 penerima kategori miskin.

Ujarnya bantuan fidyah yang turut diberikan kepada fakir merupakan hasil bayaran denda yang dikenakan terhadap saudara Islam yang meninggalkan puasa dalam tahun-tahun sebelum.

“Penerima boleh membelanjakan duit ini bagi tujuan membeli barangan keperluan makanan sahaja.

“Ia tidak boleh dibelanjakan selain daripada tujuan makan kerana fidyah hanya ditentukan untuk memberi makan kepada fakir sahaja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1901
Kongsi :
Previous post Bayi 21 hari mangsa banjir termuda di PPS
Next post Tun Mohd Ali terima kunjung hormat pengamal media Melaka
Ubah saiz-+=