Bayi parah, didakwa dihempap anak buah pengasuh

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 28 Jan – Seorang bayi lelaki bukan sahaja patah tangan kiri malah turut mengalami pendarahan dalam mata dan kepala dipercayai akibat dihempap kanak-kanak berusia dua tahun ketika berada dalam jagaan pengasuh dalam kejadian dikatakan berlaku Disember lalu.

Susulan kejadian bayi malang itu terpaksa dirawat di Hospital Melaka dan Hospital Kuala Lumpur kira-kira sebulan sebelum dibenarkan pulang.

Ibu bayi malang berkenaan, Siti Nor Asyikin Abdul Kadir, 22, berkata, ketika kejadian anak keduanya itu berada di rumah pengasuh kerana dia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menghantar anak saudaranya.

“Pada awalnya, pengasuh tidak maklumkan kejadian menimpa bayi saya dan cuma beritahu anak saya muntah disebabkan ubat yang disapu.

“Sehari kemudian pengasuh hubungi saya dan memaklumkan bayi tiada tindak balas. Saya terus ke rumah pengasuh dan lihat dia sedang dodoikan anak.

“Keadaan anak ketika itu bukan hendak tidur tetapi diserang sawan. Walaupun begitu pengasuh masih tidak menceritakan hal sebenar,” katanya.

Mengesyaki ada perkara yang tidak kena Siti Nor Asyikin, kemudian bergegas membawa bayinya itu ke Hospital Melaka untuk menjalani pemeriksaan lebih lanjut.

“Selepas itu barulah pengasuh beritahu perkara sebenar, dia mendakwa anak buahnya terhempap anak saya. Ketika kejadian dia berada dalam bilik air.

“Ditanya mengapa tidak memaklumkan lebih awal kejadian itu dia memberi alasan tidak mahu saya kelam kabut.

“Walaupun kini anak sudah dibenarkan pulang ke rumah namun doktor masih memantau tahap kesihatan selain perlu berulang alik mendapatkan rawatan susulan di Hospital Melaka,” katanya.

Katanya, dia amat berharap kejadian menimpa anaknya menjadi iktibar buat semua ibu bapa termasuk pengasuh agar insiden sama tidak berulang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

854
Kongsi :
Previous post Rayuan kes SRC: Mahkamah arah Najib mohon lantik Peguam Diraja sebelum 20 Mei
Next post Kementerian Undang-undang perlu diwujudkan semula – Wan Junaidi
Ubah saiz-+=