‘Baywatch’ APM Melaka berwajah baharu
AYER KEROH 24 Mac – Pasukan petugas penyelamat pantai (baywatch) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka kini berwajah baharu dengan pengenalan pakaian yang seragam dan lebih menarik.
Pengarah APM Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, sebelum ini 30 anggota baywatch ditugaskan di pantai Klebang, Pantai Puteri dan Masjid Tanah mengenakan pakaian yang tidak seragam.
Menurutnya, pengenalan pakaian baharu yang lebih seragam secara tidak langsung meningkatkan kredibiliti dan menunjukkan skil menyelamat anggota pada tahap terbaik.
“Apabila pakaian diseragamkan, anggota baywatch APM akan lebih kekitaan, ada silaturahim dan mereka lebih nampak profesional.
“Kita mahu pasukan baywatch APM Melaka terus kekal memiliki kredibiliti terbaik dan lengkap dengan ilmu menyelamat di pesisiran pantai.
“Melalui penjenamaan pakaian baharu ini juga, pasukan baywatch kita memiliki semangat yang tinggi serta dapat menguasai skil kemahiran menyelamat pantai yang luar biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis sambutan Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) ke-70 di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Menurutnya, APM akan meneruskan pelaksanaan modul latihan kepada setiap petugas baywatch bagi meningkatkan kualiti kemahiran anggota.
“Latihan yang berterusan dijalankan dan sentiasa diberi penekanan agar setiap petugas dapat menguasai ilmu skil berenang, pernafasan dan kepantasan mengendalikan alat-alat menyelamat.
“Walaupun setakat ini, kes dan insiden kecemasan di pantai masih terkawal namun kita mahu setiap petugas baywatch sentiasa siap siaga serta bijak memberi respon bila berlaku kes kecemasan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.