Bazar Klebang rekod 300,000 pengunjung, nilai jualan RM3 juta

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KLEBANG 8 April – Glam Bazar Ramadan Klebang 2024 di Dataran Klebang, di sini, berjaya mencatat nilai jualan RM3 juta, setakat malam tadi.

Penganjurnya, Abdul Rashid Omar berkata, jumlah pengunjung pula direkodkan seramai lebih 300,000 orang dari dalam dan luar Melaka.

Menurutnya, pencapaian itu sekali gus mengatasi sasaran yang ditetapkan dan seterusnya memberi limpahan rezeki kepada 216 peniaga di bazar berkenaan.

“Mereka yang berbelanja lebih RM30 layak menyertai cabutan bertuah dengan hadiah keseluruhan bernilai RM71,000 termasuk dua buah kereta iaitu BMW 320i dan Perodua Axia beserta tiga buah motosikal.

“Sepanjang dua minggu bazar ini dibuka sahaja, 100,000 kupon cabutan bertuah telah habis diedarkan kepada pengunjung untuk melayakkan mereka memenangi cabutan bertuah istimewa itu.

“Ini secara tidak langsung menunjukkan penganjuran bazar pada tahun ini mendapat sambutan cukup hebat daripada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Malam Kemuncak Glam Bazar Ramadan Klebang 2024.

Img 20240408 004855 833
ABDUL RASHID. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Majlis perasmian itu telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pembangunan, Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Tuminah Kadi @ Mohd Hasim; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid memaklumkan sambutan pada tahun ini lebih meriah berbanding tahun sebelumnya dengan peningkatan jumlah peniaga dan pengunjung.

Malah, katanya, pengunjung yang datang bukan hanya dari dalam Negeri Melaka, bahkan turut membabitkan pengunjung luar seperti dari Johor dan Singapura.

“Malah, maklum balas peniaga juga amat memberangsangkan apabila melihat kehadiran ribuan pengunjung setiap hari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

131
Kongsi :
Previous post Bazar Ramadan Melaka gamit pelancong, bawa limpahan ekonomi buat peniaga – KM
Next post Rezeki murid darjah 3 menang ‘Y suku’
Ubah saiz-+=