Bazar Ramadan Melaka gamit pelancong, bawa limpahan ekonomi buat peniaga – KM

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KLEBANG 8 April – Penganjuran beberapa Bazar Ramadan mega di negeri ini bukan sahaja menambah kemeriahan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, bahkan berjaya menarik kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran bazar tersebut turut terbukti membawa limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan.

Mengambil contoh penganjuran Glam Bazar Ramadan Klebang 2024 di Dataran Klebang, di sini, Ketua Menteri berkata, penganjuran itu berjaya menarik kehadiran lebih 300,000 pengunjung dengan nilai jualan hampir RM3 juta setakat ini.

“Saya amat bersyukur, sekali lagi pada tahun ini kita dapat berkongsi rezeki bersama-sama 216 orang peniaga yang menyertai perniagaan untuk menambah sumber pendapatan masing-masing.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong penuh usaha penganjuran Bazar Ramadan seperti ini demi menyemarakkan lagi kegiatan ekonomi peniaga tempatan di Melaka sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Malam Kemuncak Glam Bazar Ramadan Klebang Tahun 2024, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi @ Mohd Hasim; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman dan lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, Glam Bazar Ramadan Klebang 2024 turut mengambil pendekatan kreatif dalam menarik pengunjung apabila menyediakan hadiah cabutan bertuah berupa dua buah kereta dan tiga motosikal kepada pengunjung yang berbelanja serendah RM30.

Pendekatan itu, ujar beliau, seiring dengan TMM2024, yang turut menyediakan cabutan bertuah istimewa berupa 10 buah kereta, 28 motosikal dan sebuat bot menerusi kempen ‘Bercuti Dan Menang’.

“Syaratnya amat mudah, pengunjung dan pelancong hanya perlu membeli cenderamata rasmi TMM2024 atau menginap di hotel-hotel di Melaka.

“Sehingga Mac 2024, Melaka telah menerima seramai 3.3 juta orang pelancong, Insya-Allah sehingga hujung tahun ini, saya yakin kita dapat mencapai sasaran 18.7 juta pelancong ke Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

91
Kongsi :
Previous post ‘Sembang Santai’ bersama Ustaz Syamsul Debat
Next post Bazar Klebang rekod 300,000 pengunjung, nilai jualan RM3 juta
Ubah saiz-+=