Rezeki murid darjah 3 menang ‘Y suku’

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KLEBANG 8 April – Siapa sangka anak kecil yang baru berusia sembilan tahun menjadi insan paling bertuah apabila diumumkan sebagai pemenang motosikal Yamaha Y15 di Glam Bazar Ramadan Klebang 2024, di sini.

Nur Aniq Qayyum Zaidi, 9, dipilih sebagai pemenang cabutan bertuah daripada ratusan ribu pengunjung di bazar berkenaan selepas membeli persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Menurut murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rambai itu, dia datang ke bazar berkenaan bersama ibu bapa dan adik beradiknya untuk membeli baju raya.

Namun, apabila dimaklumkan mereka layak menyertai kupon cabutan bertuah dengan pembelian minima RM30, dia berasa teruja dan berharap untuk memenangi hadiah utama iaitu sebuah kereta BMW 320i.

“Walaupun tidak menang kereta, saya bersyukur memenangi hadiah motosikal ini. Motosikal ini akan saya hadiahkan kepada ibu bapa saya untuk kegunaan mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah di bazar berkenaan, malam tadi.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Sementara itu, bapanya, Zaidi Yasin, 49, berkata, dia berhabis anggaran RM600 di bazar berkenaan bagi membeli kelengkapan raya untuk keluarganya.

Bapa kepada lima anak yang menetap di Taman Rambai Indah itu berkata, kemenangan itu dianggap sebagai rezeki untuk mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Niat kami hanya mahu membeli baju dan kasut untuk raya dan alhamdulillah ada rezeki lebih istimewa menanti kami apabila membeli belah di bazar ini,” ujarnya yang merupakan seorang pesara tentera.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

211
Kongsi :
Previous post Bazar Klebang rekod 300,000 pengunjung, nilai jualan RM3 juta
Next post Senarai Rumah Terbuka Ketua Menteri, ADUN di Melaka
Ubah saiz-+=