Bekalan beras tempatan dijangka pulih satu, dua bulan lagi

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KOTA LAKSAMANA 8 Oktober – Bekalan beras putih tempatan dijangka akan pulih dalam tempoh satu atau dua bulan lagi, kata Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong.

Beliau berkata, unjuran itu disasarkan memandangkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah menubuhkan pasukan pemantau khas bagi memantau dan memastikan bekalan makanan asas itu mencukupi untuk rakyat negara ini.

Selain itu, katanya, di peringkat Kerajaan Negeri juga pemantauan secara berkala turut membantu dalam memastikan bekalan itu pulih dan tidak menimbulkan kegusaran orang ramai.

“Apapun kita meminta orang ramai agar tidak panik kerana kerajaan sedang mengambil beberapa langkah untuk menstabilkan bekalan tempatan.

“Untuk Negeri Melaka, setakat 5 Oktober kita telah menerima 343.09 tan metrik beras putih tempatan dan kesemuanya telah diagihkan di pelbagai outlet, termasuk pasar raya, Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA), Jualan Agro Madani dan lain-lain lagi.

“Kita menyasarkan untuk tempoh sebulan sebanyak 500 tan metrik bekalan akan diterima untuk Negeri Melaka dan kita berharap ia cukup untuk menampung permintaan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan pemantauan bekalan beras tempatan bersama Kawal Selia Padi dan Beras serta FAMA Negeri Melaka di sebuah pasar raya, di sini, semalam.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penjualan beras di Japerun, Chee Leong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana menjelaskan, inisiatif itu dilakukan hanya untuk membantu komuniti di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Jelas beliau, Japerun mengambil tugas untuk membantu proses jualan beras itu dalam usaha memperbanyakkan outlet jualan di seluruh negeri, berbanding hanya tertumpu di kedai runcit atau pasar raya sahaja.

“Kita tidak akan menjual beras ini sepanjang tahun di Japerun kerana di peringkat Japerun kita hanya membantu untuk menambah lokasi jualan dan mententeramkan keadaan semasa.

“Kerajaan Negeri percaya dengan penjualan di Japerun ia dapat membantu dan memudahkan penduduk di setiap kawasan mendapatkan bekalan dan pada masa sama, kita dapat mengawal daripada berlaku ketirisan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1281
Kongsi :
Previous post Ahli farmasi mula dekati komuniti
Next post FAMA Melaka bakal agih bekalan beras ke kedai runcit
Ubah saiz-+=