FAMA Melaka bakal agih bekalan beras ke kedai runcit
KOTA LAKSAMANA 8 Oktober – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mengagihkan bekalan beras putih tempatan ke kedai-kedai runcit seluruh Negeri Melaka.
Pengarah FAMA Negeri Melaka Hairudin Yunos berkata, langkah itu bagi memastikan segenap pelusuk kampung di negeri ini turut menerima bekalan untuk dijual kepada penduduk, khususnya di kawasan luar bandar.
Katanya, setakat 6 Oktober, FAMA Melaka telah menerima sejumlah 108 tan metrik dan kesemuanya telah dijual menerusi pelbagai platform antaranya di outlet FAMA, Japerun serta Jualan Agro Madani.
“Jadi, rakyat tidak perlu bimbang mengenai bekalan kerana kita akan pastikan bekalan beras putih tempatan turut diterima oleh kedai-kedai runcit seluruh negeri.
“Itu adalah antara fokus kita untuk tempoh dua minggu ini, yang mana ia akan diagihkan mengikut kepada bekalan yang kami terima,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong mengadakan lawatan pemantauan beras di sebuah pasar raya, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Hairudin berkata, sejak tahun lalu hingga sekarang, FAMA Melaka telah menganjurkan lebih 500 program Jualan Agro Madani di seluruh negeri ini.
Katanya, program itu dianjurkan pada setiap minggu di beberapa lokasi terpilih dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.
“Di Jualan Agro Madani ini, kita bukan sekadar menjual beras sahaja, bahkan kita juga ada pelbagai produk pertanian, hasil laut, ternakan dan lain-lain yang mana ia dijual dengan diskaun 10 hingga 30 peratus.
“Penganjuran ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup pada masa ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.