Melaka bantu Orang Asli carum Perkeso
MACHAP JAYA 8 Oktober – Kerajaan Negeri menyasarkan lebih ramai masyarakat Orang Asli dilindungi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, caruman itu penting memandangkan masyarakat Orang Asli bekerja sendiri dan tinggal di kawasan pedalaman.
Jelasnya, dengan adanya caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), ia dapat memberi perlindungan kepada mereka jika berlaku kemalangan.
“Seperti tahun lepas ada satu kes Orang Asli terjatuh pokok sewaktu bekerja, tetapi disebabkan tiada caruman Perkeso, maka waris mereka tidak dapat apa-apa manfaat.
“Jadi sebagai wakil rakyat saya juga bertanggungjawab menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli di negeri ini.
“Justeru, saya anjurkan Mini Karnival Jom Sihat Machap Jaya ini dan menaja seramai 100 penduduk Orang Asli mendapatkan caruman bernilai RM46.60 setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Mini Karnival Jom Sihat Machap Jaya di Dewan Taman Kejora, Kuala Sungga di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Perkeso Melaka, Abd Razak Omar.
Dalam pada itu, Hee Sem turut menggalakkan agar semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di negeri ini akan menganjurkan Karnival Jom Sihat di kawasan masing-masing.
Jelasnya, ia bertujuan menggalakkan budaya hidup sihat dalam kalangan komuniti di negeri ini.
“Jika setiap Adun berminat anjurkan program begini di Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka kita sangat galakkan, sebagai Exco Kesihatan saya akan bantu bersama jabatan terlibat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.