Melaka sasar lepaskan 250,000 nyamuk Berwolbachia hingga Januari 2024
AYER KEROH 8 Oktober- Jabatan Kesihatan Negeri Melaka akan melepaskan 250,000 nyamuk aedes dewasa Berwolbachia sehingga Januari tahun depan di kawasan ‘hotspot’ denggi di seluruh negeri ini.
Pengarah Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, pihaknya akan melepaskan sebanyak 18,000 ekor nyamuk itu pada setiap minggu di lokaliti berbeza yang mempunyai peningkatan kes denggi.
Katanya, antara lokaliti atau kawasan panas yang terlibat ialah seperti di Kota Laksamana, Sungai Udang dan lain-lain lokasi melibatkan semua daerah dalam Negeri Melaka.
“Lokasi pertama yang menjadi lokaliti pelepasan nyamuk dewasa Berwolbalchia ini ialah di Taman Bemban Jaya pada tahun 2021 dan data telah menunjukkan impak positif berada pada tahap 80 peratus dan tiada lagi kes denggi dilaporkan.
“Seterusnya, lokasi kedua lokaliti Pangsapuri Taman Tasik Utama di Ayer Keroh menjadi pilihan pelepasan nyamuk tersebut antaranya kerana lokasi hotspot denggi dengan kepadatan nyamuk aedes yang tinggi dikesan di kawasan ini.
“Pelepasan nyamuk di beberapa lokaliti akan dipantau sehingga mendapat keputusan dan tidak boleh dijalankan di banyak lokasi dalam satu-satu masa kerana projek ini mengambil masa dua tahun untuk dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelepasan Nyamuk Aedes Dewasa Berwolbachia di Pangsapuri Taman Tasik Utama, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, lokasi ketiga pelepasan nyamuk dewasa Berwolbachia yang telah dikesan ialah di rumah pangsa dalam kawasan Kem Sungai Udang.
“Kita mengesan untuk melepaskan nyamuk ini di Pangsapuri Desa Tun Razak atau Pangsapuri Desa Taming Sari dalam kem tentera.
“Perkara ini kita akan bincang lebih lanjut dan kita sasarkan untuk laksanakan pada dalam akhir tahun ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.