Bekalan gula di Melaka mencukupi

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

PAYA RUMPUT 8 Jun – Bekalan gula di Melaka masih mencukupi dan tidak berdepan isu ketiadaan bekalan seperti yang berlaku di beberapa negeri.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Norena Jaafar memaklumkan, bekalan gula yang sebelum ini sedikit terjejas telah pulih memandangkan pengeluarannya kembali beroperasi seperti biasa.

Menurut beliau lagi, bagi menampung permintaan sempena Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi, bekalan gula juga akan ditambah dan kini dalam proses penghantaran kepada peruncit.

“Sebelum ini berlaku isu disebabkan kilang gula ditutup bagi kerja-kerja pembersihan. Tapi kini, operasi itu kembali disambung dan bekalan itu kini dalam proses penghantaran.

“Bagi memastikan tidak berlaku isu kekurangan gula, kita juga telah bermesyuarat dengan semua pemborong, pembekal dan pihak pasar raya agar ‘alert’ sekiranya berlaku kekurangan bekalan kepada pihak kami,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Norena memaklumkan, KPDN Melaka bakal mengadakan Jualan Rahmah di beberapa lokasi bermula 24 hingga 28 Jun ini.

Katanya, inisiatif yang menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus itu diadakan bersempena kedatangan Hari Raya Aidiladha.

“Harga murah ini akan melibatkan barangan asas seperti ayam, telur, sayuran, ikan dan sebagainya dengan potongan sehingga 30 peratus.

“Untuk program pertama pada 24 Jun nanti, kita akan adakan di Mydin MITC Ayer Keroh dan dijemput orang ramai untuk mengambil peluang ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

673
Kongsi :
Previous post Penyeleweng diesel bersubsidi makin licik!
Next post Ab Rauf ucap tahniah kepada calon SPM 2022 Melaka
Ubah saiz-+=