Bekalan makanan sempena Deepavali di Melaka cukup

AYER KEROH 21 Oktober – Bekalan makanan dan keperluan termasuk bekalan ayam dan telur pada musim perayaan Deepavali dijamin mencukupi di pasaran.

Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ngwe Hee Sem berkata Kementerian Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mewartakan sebanyak lapan jenis barangan dengan harga terkawal.

Katanya, harga barangan kawalan itu dilaksanakan menerusi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2022 yang dikuatkuasa bermula semalam sehingga 26 Oktober depan.

“Meskipun terdapat isu kekurangan ayam dan telur di pasaran, dalam masa sama kerajaan telah bertindak untuk menyambung pewartaan bagi ayam dan telur untuk memastikan tidak berlaku kekurangan bekalan.

“Pelaksanaan ayam dan telur telah disambung warta seperti ayam hidup; ayam standard (disembelih dan dibersihkan beserta kaki, kepala, hati dan hempedal); ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal); telur ayam gred A,B dan C.

“Manakala, antara lapan jenis barangan harga terkawal SHMMP Deepavali 2022 adalah seperti daging; tomato; cili merah; kelapa biji; kelapa parut; bawang merah kecil; bawang merah besar import dan kacang dal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2022 di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri (TKSU PPDN) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDNHEP), Datuk Roziah Abudin dan Pengarah KPDNHEP Negeri, Norena Jaafar.

Mengulas lanjut, Hee Sem turut menegaskan untuk mana-mana peniaga untuk tidak mencatut harga bekalan makanan pada musim perayaan Deepavali ini.

“Jika kita dapati mana-mana peniaga gagal mematuhi peraturan di bawah SHMMP Deepavali 2022 ini pihak KPDNHEP boleh mengenakan penalti.

“Individu boleh didenda sehingga RM 100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau kompau RM 50,000 dan jika kesalahan dikesan menerusi syarikat boleh didenda sehingga RM 500,000 atau dikompaun RM 250,000.

“Manakala bagi kesalahan gagal pamer tanda harga warna merah jambu bagi barangan terkawal boleh dikenakan denda sehingga RM 10,000 dan dikompaun RM 5,000 bagi individu dan jika syarikat (denda RM 20,000 atau kompaun RM 10,000),” katanya.

Menurutnya, pengguna perlu menjadi mata dan telinga KPDNHEP dalam melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdaganan dan isu kepenggunaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

272
Previous post TNB siap siaga hadapi musim banjir
Next post Kerajaan pantau rapi jika ada jangkitan susulan telur tercemar – KPDNHEP