Bekas komando kini ‘tauke’ ayam golek
DURIAN TUNGGAL 28 Okt. – Tiada benda yang mustahil semuanya pasti boleh, itu ungkapan seorang bekas komando yang kini membuka perniagaan Ayam Golek Komando di Durian Tunggal.
Jika dahulu dia hanya diajar untuk berperang namun, kini dunianya berubah 360 darjah
Pemiliknya Muhammad Shukur Ramali, 44, berkata, walaupun sudah menamatkan perkhidmatan dalam rekrut komando selama 21 tahun, namun usaha untuk memiliki perniagaan sendiri adalah di luar jangka.
“Saya simpan dalam dada, tiada benda yang mustahil, semuanya boleh, bila tamat perkhidmatan komando cabaran lain pula yang bermula apabila menyesuaikan diri dengan dunia awam.
“Bila dah habis servis, dah jadi ‘orang biasa’ kita kena ikut peraturan kerajaan, jangan gunakan kuasa komando seperti dahulu,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di kedainya, baru-baru ini.
Shukur berkata, walaupun masih awal dalam bidang perniagaan, namun sokongan dan semangat rakan-rakan kongsinya tidak pernah luntur.
“Pada permulaan saya bermodalkan wang simpanan RM9,000 untuk niaga, sebelum niaga ayam golek ada plan nak buat macam-macam tapi semua tak jadi.
“Alhamdulillah, saya dikelilingi rakan yang sangat membantu, masa kursus kenal beberapa rakan dan hingga hari ini mereka bantu saya niaga di kedai,” katanya.
Diberi nama Ayam Golek Komando
Menurut Shukur pada awalnya dia ingin memberikan nama Ayam Golek Durian Tunggal, namun terlalu biasa dan tidak unik jika didengari.
“Pada mulanya saya nak letak nama Ayam Golek Durian Tunggal tapi kawan saya bagi cadangan apa salahnya guna nama Ayam Golek Komando memandangkan saya memang terlibat dalam bidang itu sebelum ini.
“Kawan saya menjadi pencetus supaya guna nama ini sampai la sekarang, jadi bila sebut Ayam Golek Komando pelanggan dah tahu nak cari di mana,” katanya lagi.
Cabaran Pada Awal Pembukaan Kedai
Katanya, kedainya mula dibuka pada bulan Februari lalu, namun selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPK) bulan Mac dia terpaksa menanguhkan pembukaannya.
“Masa umum PKP saya dah fikir macam mana nak niaga sebab baru saja mula, kawan saya bagi idea untuk buat jalankan urusniaga secara tunai (COD).
“Pada awalnya saya rasa segan, lama kelamaan saya teruskan dengan dibantu dua lagi rakan untuk hantar ke tiga-tiga daerah di negeri ini.
“Pernah juga nak jadi agen jual kambung perap, dah banyak kali ‘deal’ tapi tak pernah pun jadi,” katanya yang merupakan bapa kepada lima orang anak.
Punyai Ramuan Rahsia
Shukur berkata, istimewanya Ayam Golek Komando kerana mempunyai 11 ramuan rahsia yang diperap bagi memastikan ianya sentiasa segar dan enak dimakan.
“Resepi ni saya buat sendiri, saya gunakan ayam berat 800 gram hingga 1.2 kilogram untuk pastikan bahan-bahan itu menyerap keseluruhannya pada ayam.
“Alhamdulillah, sejak dibuka hingga hari ini sambutan menggalakkan, jika hari biasa permintaan pelanggan hingga 20 ekor sehari, kalau hujung minggu lebih 30 ekor,” katanya.
Katanya, ayam golek yang dibakar mengambil masa 45 minit hingga 1 jam untuk masak sepenuhnya.
“Saya buka kedai jam 2 petang hingga 9 malam, manakala, pada Sabtu dan Ahad pada jam 12 tengah hari hingga 9 malam,” katanya lagi.