Belacan Melaka masih popular

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

Oleh: Iqmal Haqim Rosman

KLEBANG 11 Jun – Kalau datang melancong ke Melaka, tidak sah rasanya jika tidak membawa pulang buah tangan istimewa daripada bumi bersejarah.

Antara oleh-oleh yang sering menjadi pilihan sudah tentulah cencaluk dan belacan yang dihasilkan sendiri oleh penduduk tempatan di negeri ini.

Belacan Melaka, misalnya, menjadi antara produk ikonik yang sering mendapat permintaan tinggi daripada pelancong dan pengunjung ke negeri ini.

Tidak hairanlah, di sepanjang jajaran jalan dari Lereh menghala ke Klebang terdapat banyak gerai-gerai produk industri kecil dan sederhana yang dijual dan sering menjadi persinggahan orang ramai.

Whatsapp Image 2024 06 11 At 12.37.56
MENJADI destinasi persinggahan pelancong dan pengunjung untuk membeli buah tangan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Salah seorang peniaga dan pengusaha belacan di Klebang, Athirah Rosley, 29, mengakui belacan Melaka masih popular sehingga ke hari ini dan sering menjadi produk pilihan pelancong.

Katanya, penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) sedikit sebanyak turut memberi tempias kepada pengusaha dan peniaga belacan sepertinya apabila mendapat permintaan cukup tinggi terutama pada setiap hujung minggu dan cuti umum.

“Menariknya, di sini, kami menghasilkan belacan segar yang diproses secara terus dan dikeringkan sebelum dijual kepada pelanggan.

Photo1716959425
ATHIRAH

“Kebiasaannya proses membuat belacan bermula sejak awal pagi iaitu dengan mengisar campuran udang geragau dan garam sehingga lumat dan kemudian dikeringkan dalam tempoh enam hingga ke lapan jam, bergantung pada keadaan cuaca.

“Seperti di tempat-tempat lain, belacan Melaka masih popular kerana ia menjadi penyedap dan pelengkap kepada pelbagai jenis juadah seperti asam pedas, sambal, nasi goreng dan pelbagai lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Athirah, belacan asli udang geragau yang terdapat digerainya dijual pada harga serendah RM5 bagi setiap 300 gram.

Whatsapp Image 2024 06 11 At 12.37.56 (1)
PELBAGAI produk IKS yang dijual pada harga murah. Foto Iqmal Haqim Rosman

Dia yang juga penduduk Kampung Bahagia, Klebang berkata, selain belacan, gerainya turut menjual produk seperti cencaluk, inang-inang, dodol, ikan kering dan pelbagai lagi pada harga murah untuk pengunjung dan pelancong.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana perniagaan yang diusahakan bersama keluarga sejak 10 tahun lalu masih mendapat sambutan sehingga ke hari ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

543
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak lima tahun maut didera, suami isteri ditahan
Next post Penjimatan subsidi diesel dikembalikan kepada rakyat melalui STR, pengangkutan awam – PM
Ubah saiz-+=